Pages

Tuesday, October 4, 2011

Hudud: PAS Tersungkur, DAP Menang Lagi...


Pas seolah-olah sedang dipermainkan rakan pakatannya dalam soal hudud yang menjadi duri dalam daging kepada pakatan pembangkang yang mana hingga ke hari ini perkara itu masih belum dapat diselesaikan secara tuntas.

Mana Satu Pendirian Rasmi Pakatan Pembangkang??

Aktivis UMNO, Ustaz Zainal Abidin Sakom berkata PKR jelas menggunapakai “stand munafik” yang mana pendirian mereka tidak jelas dan DAP pula hanya Karpal Singh yang konsisten sejak daripada beliau menyertai DAP hingga ke hari ini.

“Atas dasar itu, kita ingin tahu apakah dasar sebenar kedua-dua parti berkenaan dan Pas dilihat terloncat-loncat keseorangan mendendangkan lagu berhubung isu tersebut yang mana tujuannya tidak lain hanyalah untuk kepentingan politik semata-mata.

“Saya sebutkan perkara itu kerana tidak jelas…. Apakah pendirian terbaru Karpal itu pandangan peribadi beliau atau merupakan pendirian daripada DAP. Begitu juga PKR… bagi saya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menggunakan “ayat selamat” demi menjaga hati Pas dan DAP,” katanya kepada UMNO-Online.

Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam pendirian terbaru berkata, parti itu tidak akan bersetuju pada bila-bila masa untuk melaksanakan hukum hudud termasuk yang pernah diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Sebelum ini mesyuarat Pakatan Pembangkang berhubung cadangan Pas untuk melaksana undang-undang hudud ke atas orang Islam di Kelantan tidak mencapai kata putus walaupun hangat dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun, ketua umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis pimpinan itu menghormati niat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang berkenaan dan pada masa yang sama Majlis itu juga menghormati pendirian DAP yang menentang keras cadangan tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Ustaz Zainal seterusnya menegaskan apa yang terserlah hari ini hanya Pas yang terkontang-kanting mempertahankan ideologi mereka sedangkan PKR menggunapakai “stand munafik” dan DAP hanya bersuara menerusi Karpal.

Mungkin bagi beliau, kedua-dua sekutu Pas itu juga mempunyai nawaitu yang sama seperti Pas iaitu untuk kepentingan politik terutama melonjakkan populariti masing-masing menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

“Bagi saya soal hudud yang kembali bergema hanyalah lakonan Pas semata-mata kerana menyedari gendang pilihan raya umum mungkin akan dipalu bila-bila masa sahaja. Kita imbau kembali bagaimana kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas berjaya menawan Terengganu,hudud hanyalah 0.00001 peratus. Itu kalau tidak silap.

“Apa pun bagi saya hiruk pikuk yang berlaku di dalam Pas hari ini adalah berpunca daripada gaya permainan politik mereka sendiri yang menjadikan agama sebagai komoditi politik. Mungkin doa solat hajat mereka dimakbulkan Allah yang mana yang ditunjukkan kebenaran,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Zainal turut meminta umat Islam khususnya Pas menyelami titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang mengingatkan tentang kemusnahan Islam.

“Bukankah baginda bertitah antaranya Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada prinsip-prinsip menyentuh akidah. Inilah yang perlu kita selami betul-betul agar agama terus berada pada landasan yang betul,” katanya. -Media Umno

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.