Pages

Monday, October 3, 2011

Masyarakat Cina Jangan Terpedaya Dengan Muslihat Anwar Ibrahim


Rakyat terutama komuniti Cina diingatkan supaya tidak terpedaya dengan muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa memberi kenyataan berbeza apabila bertemu kelompok masyarakat berlainan demi kepentingan politik sempit pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini terbukti apabila Anwar sering menabur janji bagi memuaskan hati sekelompok masyarakat tanpa mengambil serius kata-katanya sendiri.

Sebagai contoh kata Najib, beliau berusaha mengubah akta berkaitan sekolah vernakular sewaktu menyandang jawatan Menteri Pendidikan bagi memastikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang diamalkan terus sesuai dilaksanakan, sementara Anwar yang pernah memegang jawatan itu gagal berbuat demikian.

Dengan perubahan itu katanya, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang masih meneruskan sistem sekolah vernakular sehingga kini.

“Pada masa itu, sebelum saya ada seorang Menteri Pendidikan yang tidak mahu melakukannya (pindaan akta), tiada keberanian untuk melakukannya. Seorang ‘sesumpah politik’ yang mempunyai warna berlainan ketika itu. Hari ini warnanya lain dan seterusnya kerap bertukar warna.

“Kalau di Washington (Amerika Syarikat) warnanya lain, kalau di Rantau Panjang, Kelantan warnanya lain, kalau jumpa orang Cina warnanya berubah. Berhati-hati dengan ‘sesumpah politik’ sebegini, jangan terpedaya. Komuniti Cina jangan terpedaya,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-58 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau meminta rakyat menilai prinsip demokrasi diamalkan Anwar dan pakatan pembangkang yang menyaksikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dipilih sebagai pemimpin tertinggi parti tanpa melalui pemilihan, manakala isteri dan anaknya muncul sebagai presiden dan naib presiden parti.

Dengan semua perkembangan itu katanya, Anwar serta pakatan pembangkang masih tetap memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) seolah-olah langsung tidak mempunyai prinsip moral dalam pentadbiran.

“Anda (Anwar) bercakap mengenai demokrasi tetapi parti anda berasaskan keluarga. Maknanya anda bercakap mengenai keunggulan moral tetapi melakukan perkara berlainan. Jadi, berhenti berkhutbah, berhenti daripada cuba menduduki landasan moral yang unggul,” tegasnya.-UM

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.