Pages
▼
Saturday, December 3, 2011
Wanita Mahu Buka Ruang Seluasnya Mahasiswa Sertai Umno #PAUMNO
Ahli Umno setiap peringkat diminta membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa menyertai Umno bagi memberi mereka pendedahan awal untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan, kata perwakilan Wanita Umno, Datuk Hasnah Salam.
Beliau berkata mahasiswa sepatutnya tidak dilihat sebagai ancaman kepada Umno, sebaliknya mereka perlu dilihat sebagai pemberi kekuatan dalam bentuk idea dan tenaga bagi memajukan Umno.
"Mari kita bersama Presiden Umno galakkan penyertaan mahasiswa. Saya menyeru dan merayu kepada seluruh ahli Umno pelbagai jawatan dan peringkat buka pintu seluas-luasnya kepada mereka terutamanya di peringkat cawangan dan bahagian.
"Fahamilah jiwa mereka, jiwa Umno sudah tentu mereka akan menjiwai kemudian. Inilah yang dikatakan peremajaan Umno," katanya ketika menyokong usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpuan Agung Umno 2011 hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno pada 24 NovEMBER lepas mengumumkan kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan mahasiswa mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.
Hasnah yang juga Exco Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Alor Gajah turut mencadangkan agar setiap sekolah menengah di negara ini mempunyai sekolah agama sendiri.
"Mendidik anak daripada darjah satu hingga enam tiada masalah, kalau mak kata hitam, hitam anak ikut, kalau mak kata putih, putih anak ikut. Tetapi bila tingkatan satu sampai lima inilah masanya mereka akan cari rakan sebaya mereka.
"Sekolah rendah tidak jadi masalah kerana mereka sudah ada sekolah agama. Sekolah menengah ini penting ada sekolah agama pada waktu petang kerana peringkat umur ini mereka mudah terdedah kepada gejala negatif," katanya.
Beliau berkata sekolah agama ini dapat mengukuhkan lagi proses melahirkan insan yang mempunyai kekuatan mental dan akhlak terpuji seterusnya dapat menghindari anak-anak daripada terlibat dengan gejala sosial.
Katanya sistem pendidikan yang berkesan penting dalam menghasilkan masyarakat yang berilmu seterusnya dapat membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Wakil Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar ketika membahaskan usul itu mencadangkan Kementerian Pelajaran mewujudkan Sekolah Kebangsaan Agama di peringkat sekolah rendah.
Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak itu berkata kewujudan sekolah tersebut akan memberi pilihan kepada ibu bapa yang berkecenderungan menghantar anak-anak ke sekolah agama swasta atau sekolah agama yang tidak berdaftar dengan kementerian.
"Persoalannya ruang kekosongan yang wujud di peringkat rendah menyebabkan kebanyakan ibu bapa mengambil keputusan menghantar anak-anak mereka ke sekolah persendirian yang berteraskan pengajaran Agama Tinggi sebelum memasuki semula ke peringkat menengah sekolah yang dikelolakan oleh kerajaan.
"Dengan tiada sebarang niat untuk menafikan sumbangan Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Agama Negeri begitu juga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, kewujudan Sekolah Kebangsaan Agama di peringkat rendah akan melengkapkan rantaian pendidikan agama secara menyeluruh di bawah kelolaan Kementerian pelajaran," katanya.
-Bernama
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.