Pages

Sunday, January 15, 2012

Pemuda Gerak Strategi Rahsia PRU-13


Pemuda Umno menggerakkan strategi dalaman yang diyakini akan memberi impak kepada kumpulan sasaran iaitu pengundi muda lelaki. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perkara berkenaan disampaikan kepada semua Pemuda Umno Bahagian pada sesi taklimat persiapan jentera sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Kita telah berbincang strategi, hala tuju dan saya boleh katakan kita telah sampai ke peringkat terakhir iaitu ke tahap 90 peratus bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya."Pada sesi taklimat kira-kira lima jam tadi, kita ada berikan tugas kepada mereka untuk dilaksanakan sepanjang Januari dan Februari ini. Kita juga telah suntik semangat, hala tuju organisasi dan strategi kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Pemuda tidak pernah mengadakan taklimat awal dengan memanggil semua pemimpin Pemuda peringkat bahagian dan diberikan "strategi A hingga Z."

"Berdasarkan tugas dan juga hala tuju yang sistematik yang saya berikan kepada setiap bahagian, kita minta mereka dapatkan input tempatan."Itu adalah persiapan terakhir yang akan kita selesaikan sebelum menjelang PRU13 nanti," katanya.

Majlis penutupan dirasmikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.Khairy berkata, pihaknya tidak obses dengan strategi pembangkang dan akan menumpukan sepenuh usaha bagi memastikan BN menguasai PRU13.

"Kita tidak obses dengan apa yang pembangkang buat, tetapi apa yang kita buat ini kita sampaikan kepada akar umbi. BN adalah wawasan dan landasan terbaik kepada generasi muda.

"Selepas ini kita akan bergerak ke Sabah dan Sarawak dan akan mengembangkan strategi ini," katanya. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.