Pages
▼
Thursday, February 16, 2012
Jelajah Aman Kampus Jadi Mata Dan Telinga Rakyat
Jelajah Aman Kampus yang disertai 180 orang dari 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan bertindak sebagai mata dan telinga rakyat bagi menyampaikan masalah mereka kepada pemimpin negara.
Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd Shahar Abdullah berkata Jelajah Aman Kampus menjelajah ke seluruh negara komited untuk mengumpul permasalahan rakyat dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.
“Sejak program ini dilancarkan, kita sudah bertemu lebih 15,000 orang dan dalam masa yang sama kita mendapatkan maklumat balas mereka menerusi soal selidik.
“Menerusi soal selidik itu kita akan tahu permasalahan mereka dan maklumkan kepada kepimpinan negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas program Pentas Anak Muda peringkat Pulau Pinang.
Program anjuran Jabatan Penerangan Pulau Pinang itu mendapat kerjasama Aspirasi yang dalam lawatan ke seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.
Katanya Jelajah Aman Kampus dilaksanakan bertujuan memastikan suasana keharmonian dan kedamaian di kampus sentiasa dipelihara.
“Program ini juga untuk menyedarkan mahasiswa agar penekanan diberikan sepenuhnya terhadap kecemerlangan sahsiah diri dan akademik. Selain itu, ia untuk menyuntik semangat patriotisme kepada mahasiswa agar terus memahami secara rasional tentang dasar-dasar yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.