Pages

Tuesday, February 28, 2012

Pewaris Pupuk Cinta Negara

Mahasiswa bergotong - royong membersihkan tanah wakaf perkuburan di Rantau, dekat sini, baru-baru ini.

Sebanyak 120 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengambil bahagian dalam Program Pewaris Muda Negara 1Malaysia (Pewaris) 2012 di Rantau dekat sini minggu lalu.

Mereka terdiri daripada para pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Politeknik Port Dickson, Kolej Negeri dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Jabatan Penerangan negeri itu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri dan Biro Tata Negara (BTN) negeri itu diadakan selama tiga hari mulai Khamis lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian penutup program itu berkata, negara meletakkan harapan yang tinggi kepada generasi muda hari ini terutamanya mahasiswa yang bakal mewarisi tanah air ini pada masa depan.

Beliau berkata, penyertaan para mahasiswa dalam program seperti itu akan membolehkan mereka menjiwai nurani komuniti setempat yang juga menaruh harapan kepada generasi pelapis negara.

"Mahasiswa dinasihatkan supaya tidak mudah terperangkap dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu kerana ia mungkin boleh membinasakan diri mereka serta menjejaskan masa depan negara.

"Sebagai mahasiswa, kita perlu berfikir dan menyiasat kesahihan sesuatu perkara terlebih dulu sebelum membuat sebarang tindakan," katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada peranan mahasiswa dan tidak mahu golongan itu terjerumus dalam perkara yang tidak berfaedah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tradisi program Pewaris adalah satu pendekatan positif ke arah mengukuhkan semangat patriotisme di dalam diri mahasiswa generasi kini.

"Selain itu, program ini juga mampu melatih mahasiswa berfikiran terbuka dan secara tidak langsung menjadikan mereka sentiasa bersedia untuk menempuh realiti luar kampus.

"Program yang tersusun ini juga boleh bertindak sebagai tarikan terhadap orang ramai ke arah meningkatkan imej mahasiswa universiti di peringkat nasional mahupun global," katanya semasa merasmikan program tersebut.

Beliau turut menasihatkan semua mahasiswa supaya mempunyai jati diri selain kemahiran berkomunikasi yang tinggi.

"Mahasiswa harus mempunyai kesedaran yang tinggi dan bangkit mempersiapkan diri dengan skil dan ilmu pengetahuan yang dapat meningkat harapan masyarakat bahawa anda sememangnya mampu untuk menjadi pemimpin," katanya.

Program tersebut dirasmikan oleh Khairy dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Hashim Bedu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pewaris, Sabarudin Yeop Hamza.

Sumber-Utusan

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.