Pages

Tuesday, April 24, 2012

Azizan Perlekeh Istana Kedah


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak buat kesekian kalinya membuktikan sifat takbur Ulama-ulama PAS apabila meletakkan fatwa yang di keluarkan oleh Mufti atau Jawatankuasa Fatwa sama ada diwartakan atau tidak, sebagai tidak boleh dicabar atau dirayu atau disemak dinafikan atau dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.

Alasan beliau iaitu fatwa Ulama adalah jauh mengatasi sistem mahkamah seolah-olah meletakkan kedudukan Ulama menjangkaui taraf manusia biasa iaitu tidak mungkin berbuat silap, malah mungkin juga berhak mengampunkan dosa manusia lain seperti mana yang pernah dilakukan oleh Nik Aziz.

Pendirian seperti ini, jelas menyalahi ajaran Islam dan menyerupai Kristian yang meletakkan padri sebagai wakil Tuhan. Sedangkan menurut Islam, Ulama juga manusia biasa iaitu ada kelemahan masing-masing malah Islam juga memperingatkan kita tentang wujudnya Ulama jahat hatta sejahat-jahat manusia ialah Ulama yang jahat. Jika tidak, tidak mungkin kita diperingatkan tentang Ulama-ulama jahat yang sering menyesatkan ummah.

Fatwa bukan statik dan ia boleh berubah atau dipinda mengikut kesesuaian masa. Ia juga bukan satu hukum tetapi merupakan pandangan tentang hukum agama. Ulama pula bukan maksum dan bukannya menerima wahyu terus dari Allah SWT.

Oleh yang demikian, apakah jaminannya yang pandangan para Ulama tersebut tepat? Dan apa pula jaminan yang Ulama yang terlibat dalam membuat fatwa itu adalah Ulama yang sebenar-benarnya sedangkan ijazah agamanya hanya diiktiraf oleh manusia, bukan Allah SWT.

Sesiapa juga, hatta orang kafir juga jika mengikuti pembelajaran agama Islam di universiti dan belajar bersungguh-sungguh tidak mustahil akan lulus dengan cemerlang juga. Maka apakah mereka juga boleh dikira sebagai lebih tinggi darjat di sisi Allah SWT dan diangkat sebagai Ulama?

Akibat dari ‘ketakburan’ kerajaan PAS ini, Tunku Laksamana Kedah, Tunku Mansor Tunku Kassim telah membuat kenyataan yang membayangkan pihak istana juga merasa tersinggung kerana tindakan ini dikhuatiri mencabar kuasa DYMM Sultan Kedah sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Jika Ulama-ulama PAS sudah meletakkan diri mereka sebagai lebih tinggi darjat dan taraf dari manusia biasa, maka Tunku atau DYMM Sultan juga tentunya berada di kedudukan lebih rendah dari mereka serta tidak berhak mempersoal atau mencabar pandangan mereka.

Dari segi rekod, bukan sesuatu yang asing apabila fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa bercanggah atau berbeza dan kemudiannya diubah setelah mendengar pandangan umum. Ini adalah perkara biasa kerana yang terlibat di dalam Majlis Fatwa ialah manusia biasa.

Kerajaan negeri Kedah seharusnya kembali berpijak di bumi nyata dan merendah diri. Bukankah Ulama itu seharusnya bersifat zuhud dan sedia mendengar pandangan semua. Kedegilan dan ketakburan yang ditonjolkan oleh kerajaan Negeri Kedah hanya menjauhkan lagi orang kafir dari Islam. Cukup-cukuplah PAS mencemarkan imej dan nama agama Islam, janganlah ditambah lagi penghinaan terhadap orang Islam dengan menunjukkan sikap yang bertentangan dengan Islam. Entah kenapa PAS sering menonjolkan sikap yang salah di tempat yang salah. Contohnya, apabila perlu bertegas dalam isu murtad, mereka berlembut tetapi apabila perlu bersikap terbuka seperti dalam isu fatwa ini, mereka berdegil dan berkeras pula.

Kita pasti, pemimpin PAS Kedah bukannya akan mengambil masa untuk merenungkan kebenaran dalam artikel ini, tetapi sebaliknya tidak akan membuang masa langsung untuk mencaci dan menuduh penulis sebagai jahil, sesat dan sebagainya. Begitulah sifat orang yang takbur akibat terlalu sibuk mengejar dunia.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.