Pages
▼
Wednesday, April 11, 2012
PTPTN: Pemuda Mahu Rakyat 'Lebih Rasional' #mejabulatptptn
Umno dan PKR mengadakan perbincangan meja bulat serentak mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) - tetapi Pergerakan Pemuda parti teras Barisan Nasional (BN) mahu orang ramai melihat isu itu "dengan lebih rasional."
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, orang ramai perlu melihat isu ini dengan lebih rasional kerana kerajaan tidak mahu membuat janji manis seperti pembangkang.
“Pembangkang kata mereka boleh hapus RM43 bilion tetapi perlu diingat kesannya kepada 87 peratus peminjam yang sudah membuat pembayaran balik itu, bagaimana mahu dikira?
“Kerajaan tidak membuat janji seperti pembangkang kerana memikirkan implikasi yang akan berlaku di masa akan datang, bukan hanya memberi janji pilihan raya, kita mahu cari cara yang terbaik selesai isu ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional 2012 semalam.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda Umno tidak ambil mudah isu PTPTN walaupun hanya 17 peratus yang masih gagal membuat pembayaran balik.
Razali berkata, isu PTPTN ini bukan perkara baru tetapi ia telah dibangkitkan Pemuda dan pernah dibincangkan dalam Makmal Pemuda (BNYL).
“Kita buat rundingan meja bulat PTPTN ini bukan sebab isu ini dibangkitkan pembangkang tetapi Pemuda mahu cari resolusi bagi membantu baki 17 peratus yang masih belum bayar.
“Kita mahu bersikap adil dengan 83 peratus lagi peminjam yang taat melunaskan hutang mereka. Sehubungan itu kita adakan rundingan meja bulat ini untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron; Setiausaha Pemuda BN Datuk Megat Firdaus Megat Junid; Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin dan Pengurus Kanan Pelaburan PTPTN, Tuan Din Tuan Mat.
Razali yang juga Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Umno berkata, sebanyak 90 peratus pembiayaan pendidikan tinggi dibiayai kerajaan dan hanya 10 peratus kos pembelajaran terpaksa ditanggung setiap pelajar menerusi pinjaman PTPTN.
Katanya, statistik menunjukkan sehingga 31 Disember lalu, sejumlah RM43 bilion kelulusan pinjaman diberikan kepada 1.9 juta pelajar.
Malah tegas beliau, rakyat tidak harus terbuai dengan perkataan "kalau" yang sering dilaungkan oleh pihak pembangkang kerana khuatir akan jadi penyakit dalam masyarakat.
“Barisan Nasional (BN) tidak gunakan kalau, kalau dalam melaksanakan janji. Kita beri jika fikir kita mampu, kalau tidak mampu kita cakap tidak mampu.
“Tetapi pembangkang memberitahu ‘kalau mereka menguasai kerajaan, mereka akan hapus PTPTN, tetapi secara jelas dalam buku Jingga tidak menyebut untuk memansuhkan PTPTN,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai boleh melihat sendiri di dalam Buku Jingga muka surat 15 di bawah tajuk Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti, Pakatan hanya cakap mereka akan memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap, langsung tidak berniat menghapuskan PTPTN.
“Mereka juga sebenarnya tidak yakin mampu menghapuskan PTPTN ini, tetapi disebabkan tiada isu dimainkan menjelang pilihan raya ini mereka gunakan mahasiswa sebagai jalan terakhir untuk menguasai politik," katanya.
Razali berkata, rakyat tiada alasan untuk berasa keliru mengenai isu PTPTN kerana ketika ini dengan ilmu dan informasi yang meluas ketika ini, banyak maklumat mudah diperoleh.
Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional 2012 yang dianjurkan Biro IPT Pemuda Umno ini berlangsung selama dua hari dengan disertai wakil mahasiswa pelbagai institusi bersama 13 pertubuhan bukan kerajaan.
Pemuda juga mengajak orang ramai turut memberi pandangan mereka melalui Twitter ke pautan #mejabulatptptn, dan rumusan hasil rundingan akan dibentang petang ini.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.