Pages
▼
Friday, May 11, 2012
Isu Air Selangor Serius
Selangor kini mengalami masalah air yang genting disebabkan kadar rizab air di negeri ini kini hanya tinggal 2.4 peratus berbanding kadar yang sepatutnya serta dikhuatiri berpanjangan sekiranya Kerajaan Negeri masih enggan melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keadaan itu menyebabkan pelabur luar tidak dapat menjalankan aktiviti perindustrian di negeri ini.
“Masalah air adalah masalah yang perlu dipandang serius. Ianya akan menjejaskan semua semua urusan seperti usahawan mikro, kecil dan sederhana, apatah lagi urusan syarikat-syarikat besar yang akan meninggalkan impak yang lebih besar.
“Apabila kerajaan negeri tidak menyimpan air dalam kadar yang ditetapkan, ia akan membantutkan urusan dan pembangunan kilang-kilang. Untuk mengelak perkara itu, mereka sepatutnya meneruskan Projek Langat 2 bagi mengatasi masalah air ini,” katanya ketika merasmikan Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana – Jom Niaga dan Skim Pengkomersialan Inovatif Patuh Syariah di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Najib berkata, isu bekalan air di negeri ini sangat serius hingga menyebabkan 129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion, dan mampu menjana 12,000 peluang pekerjaan serta sejumlah projek perumahan, tidak dapat dilaksanakan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Kerajaan Negeri perlu menerima hakikat bahawa negeri ini sedang menghadapi isu krisis air.
“Soal sekarang ini ialah Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibuat dulu, Apa guna penstrukturan semula dilakukan jika sudah tiada air?.
“Masalah sekarang ini air. Air yang kita beli dari Pahang akan disalurkan ke Selangor dan akan memasuki Loji Rawatan Air Langat 2. Jika loji yang sepatutnya dibina pada 2010 itu masih belum siap, bagaimana hendak mendapat bekalan air,” katanya. -SH
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.