Pages

Sunday, May 27, 2012

Isu Pergaduhan: Tuduhan Tidak Seharusnya Dilemparkan Kepada UMNO - Khairy


Orang ramai digesa agar tidak menuduh pihak Barisan Nasional (BN) sebagai punca kepada pergaduhan yang berlaku semasa sesi ceramah antara Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim dan Ummi Hafilda Ali yang dibuat secara bersebelahan di perkarangan Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam Khamis lalu.

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, tuduhan tidak seharusnya dilemparkan kepada BN semata-mata kerana provokasi tersebut tidak diketahui hujung pangkalnya.

“Kita tidak boleh menuduh pihak BN atau Umno yang memulakan provokasi kerana situasi ini berlaku apabila kedua-dua penyokong parti mula menjerit dan membaling objek sesama mereka.

“Situasi sebegini sukar untuk kita ketahui siapa yang memulakan provokasi,” katanya kepada pemberita di Himpunan Jutaan Belia 2012 semalam.


Beliau berkata sedemikian bagi menjawab kenyataan Anwar yang pantas menuduh Pergerakan Pemuda Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai bertanggungjawab atas insiden itu.

Menurut Khairy, pihaknya memandang serius perkara tersebut jika ia berkaitan dengan pemuda Umno yang bertindak ganas dan menyerahkan insiden tersebut kepada pihak polis.

“Siasatan lanjut mengenai pergaduhan ini akan dilakukan dan saya berharap agar ceramah seperti ini tidak lagi diadakan secara berdekatan bagi mengelakkan perkara yang tidak dingini berlaku,” katanya.

Sehubungan dengan insiden tersebut, dua lelaki yang hadir untuk mendengar sesi ceramah iaitu masing-masing seorang penyokong pembangkang dan seorang lagi penyokong kerajaan cedera di kepala selepas terkena balingan batu daripada kedua-dua belah pihak.



Khairy sebelum itu melawat tapak segmen uniform dan turut melakukan aktiviti ‘walkabout’ ke tapak-tapak pameran bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein.-KLPOS

1 comment:

  1. Melayu lah yang kena....pandai zionis memecahbelahkan Melayu.

    Buka mata luas-luas dan teliti. Disebabkan terlalu mudah dipengaruhi. Itulah sikap Melayu....

    ReplyDelete

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.