Najib Tun Razak menyanyikan lagu I Am For You (iM4U) diiringi belia yang hadir dengan penuh bersemangat pada program 1M4U di Kuala Lumpur, semalam
Kerajaan akan menggerakkan satu gelombang untuk golongan muda secara besar-besaran melalui platform 1Malaysia For Youth (1M4U) bagi mencetus kejayaan lebih gemilang kepada negara menerusi idea serta sumbangan golongan belia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berbeza dengan pembangkang yang galak mencipta gelombang dalam kalangan orang muda bagi tujuan rusuhan dan demonstrasi jalanan, kerajaan sebaliknya mahu gelombang massa itu menjayakan transformasi Malaysia.
Menurutnya, sebagai komitmen untuk melonjakkan gelombang tersebut dengan bersandar pada semangat sukarelawan para belia di atas platform 1M4U, kerajaan meluluskan penubuhan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) berjumlah RM100 juta.
Jelasnya, dana tersebut akan diagih-agihkan dalam bentuk geran kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia serta badan beruniform yang giat menjalankan aktiviti sukarelawan dengan beliau sendiri bertindak sebagai Lembaga Pemegang Amanah 1M4U.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, sebuah stesen radio 1M4U juga akan diwujudkan berteraskan minat serta cita rasa anak muda untuk membolehkan mereka mengetengah bakat masing-masing sekali gus menyemarakkan lagi usaha menggerak gelombang tersebut.
"Kita akan mencetuskan satu gelombang besar-besaran yang cukup hebat. 1M4U titik permulaan kepada gelombang massa ini dalam kalangan orang muda. Gelombang ini bukan untuk membuat rusuhan atau demonstrasi jalanan tetapi bagi membina Malaysia berjaya.
"Gelombang ini bukan untuk membawa kerosakan kepada negara tetapi akan mengangkat Malaysia ke martabat yang lebih gemilang. Masa depan negara kita ditentukan oleh belia, kalau belia cinta keamanan, aman negara kita, kalau suka membela, maka masyarakat kita akan terbela.
"Sebab itu kita lancarkan 1M4U, ia bererti saya Perdana Menteri untuk kamu, kami (Barisan Nasional) adalah kerajaan untuk belia pada hari ini dan masa hadapan," katanya di hadapan lebih 50,000 belia sambil disambut laungan 1Malaysia oleh anak-anak muda tersebut.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Program 1M4U yang dijayakan bagi tujuan menggembleng belia pelbagai kaum dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan di Taman Esplanade KLCC di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Timbalannya Datuk Razali Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Mengulas lanjut, Najib berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencetus gelombang tersebut secara massa, tahun depan akan diisytiharkan sebagai Tahun Sukarelawan bagi melahirkan lebih ramai ikon belia dalam bidang sukarelawan negara.
Sambil memberi contoh, ikon belia, Mohd. Zhariff Afandi yang kudung kedua-dua belah tangan tetapi aktif membantu masyarakat, beliau berkata, platform 1M4U akan melahirkan ribuan lagi insan berhati mulia seperti tokoh orang kurang upaya (OKU) tersebut pada masa hadapan.
"Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menggerakkan idea ini, anggaplah 1M4U ini gerakan untuk kita dan saya sebagai Perdana Menteri bersama rakan-rakan dalam kerajaan pada hari ini akan terus menyumbang dan membantu para belia tanah air," katanya.-Utusan
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.