Pages

Tuesday, October 30, 2012

Anwar Restui Azmin Ganti Khalid di Selangor


Sepintas lalu memang tidak mengejutkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada PRU ke 13 nanti.

Sebelum inipun Ketua Umum PKR itu sudah mengumumkan Naib Presiden, PKR N. SurendraN, akan bertanding di Padang Serai manakala Pengarah Strategi, PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di Pandan.

Kerusi Padang Serai kini disandang N.Gobalakrishnan yang keluar PKR pada 29 Januari 2011 manakala kerusi Pandan diwakili ahli parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Cuma jadi tanda tanya kenapa Anwar hanya mengumumkan Menteri Besar Selangor itu akan mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak tidak sekali dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang dimenangi Khalid pada 2008?

Apakah ini mesej Anwar bahawa Khalid hanya akan mempertahankan kerusi Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan dan tidak dicalonkan semula di DUN Ijok?

Menariknya, pengumuman Ketua Pembangkang itu yang juga penasihat ekonomi Selangor dibuat beberapa hari selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh mencadangkan wakil rakyat parti itu bertanding satu kerusi saja pada pilihan raya akan datang.

Namun, beliau berkata dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CEC), parti itu bersetuju bahawa hanya dalam kes "terkecuali", seseorang anggota parti itu dibenar menyandang dua kerusi iaitu kerusi DUN dan parlimen.

Karpal juga berpendapat Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng boleh dianggap sebagai antara kes terkecuali itu.

Lim kini wakil rakyat bagi kerusi parlimen Bagan dan DUN Air Putih.

Sepatutnya, Anwar boleh mengikuti cara Karpal bagi memastikan Khalid bukan sahaja kekal bertanding di Bandar Tun Razak tetapi di Ijok supaya Khalid kekal sebagai Menteri Besar sekiranya pembangkang kekal memenangi Selangor pada PRU ke 13.

Apabila beliau tidak berbuat demikian, timbul tanda tanya, apakah tindakan Anwar itu sebagai mesej awal kepada Khalid, yang disifatkan Anwar sebagai Menteri Besar paling ‘cemerlang’ bahawa Khalid tidak akan bertanding di Selangor lagi.

Apakah ini juga bermakna Anwar awal-awal lagi menghantar signal supaya timbalan presiden parti, Azmin Ali bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar?

Lagipun sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pernah mengeluarkan pendapat bersetuju Khalid dipindahkan ke pentadbiran kerajaan pusat sekiranya pembangkang PRU ke13.

Beliau menyifatkan sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan.

Pandangan Shuhaimi dilihat selari dengan pendapat Azmin sebelum ini, yang menyatakan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan akan ditukar ke peringkat pusat selepas PRU13.

Selain itu, sudah diketahui umum bahawa Azmin dikatakan sudah memasang angan-angan menggantikan Khalid sebagai menteri besar malah sudah mengambil alih jawatan pengerusi PKR Selangor daripada Khalid.

Dalam pada itu, pengumuman demi pengumuman bakal calon PKR dalam PRU ke 13 hanya mengesahkan Anwar berkuasa penuh dalam parti itu bukannya Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Walaupun sebagai Presiden PKR, Wan Azizah masih membisu mengenai calon-calon parti itu kecuali hanya mengumumkan beliau akan bertanding kerusi DUN di Pulau Pinang pada PRU nanti.

Wan Azizah mungkin tidak kisah suaminya itu mengumumkan nama-nama calon mewakili parti tetapi dalam isu membabitkan Khalid, pastinya Wan Azizah tidak senang duduk jika Anwar berkeras hanya mahu Khalid bertanding di Bandar Tun Razak sahaja.

Ini kerana Khalid dilihat rapat dengan Wan Azizah yang diketahui amat tidak menyenangi Azmin.

Namun, dengan mengumumkan Khalid kekal bertanding di Bandar Tun Razak dan ‘membisu’ pasal kerusi DUN Ijok atau DUN lain di Selangor, Anwar sudahpun membuka jalan kepada Azmin memburu cita-citanya sebagai Menteri Besar di negeri itu. -Agendadaily

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.