Pages

Tuesday, October 16, 2012

Shahrizat Janji Bantu Seniwati Azean Irdawaty


Penderitaan yang dihadapi pelakon Azean Irdawaty akibat penyakit Lymphedema mendapat pembelaan apabila Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersedia membantu meringankan beban kos rawatan seniwati itu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bantuan itu mahu disalurkan sebagai menghargai jasanya dalam bidang seni selain bersimpati dengan penderitaan yang ditanggungnya sejak sekian lama

"Selepas mendapat tahu bebanan yang ditanggung Azean, saya terus bercadang mahu melawat serta melihat sendiri keadaan Azean dan ingin berbincang berapakah perbelanjaan yang dihabiskannya pada setiap bulan.

"Untuk hari ini (Selasa), pihak kami hanya menyumbangkan sedikit wang untuk kegunaan harian Azean dan akan melawatnya sekali lagi bagi menghulurkan bantuan daripada segi kos rawatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai rombongan YKN melawat Azean di kediaman pelakon itu di Bandar Utama dekat sini pada Selasa.

Azean mengidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.

Dalam pada itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno memuji semangat pelakon yang berusia 62 tahun itu yang tidak pernah berputus asa dalam melawan penyakitnya.

"Satu perkara yang membuatkan saya kagum dengan Azean kerana dia mempunyai pemikiran yang sangat positif dan semangat yang kuat.

"Malah, saya percaya menerusi lawatan seperti ini daripada pihak saya mahupun rakan-rakan Azean sendiri, dirinya akan rasa dihargai," ujarnya yang merupakan peminat setia pelakon tersebut.

Sementara itu, Azean pula berkata, dia bersyukur apabila pihak YKN tampil untuk membantu mengurangkan bebanan kos rawatan yang ditanggung selama ini.

"Bukan murah untuk membuat rawatan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Semangat saya yang mahu hidup lebih lama membuatkan saya buang rasa malu dan terpaksa meminta bantuan teman-teman untuk mencari sesiapa yang boleh menghulurkan sedikit bantuan.

"Alhamdulillah, kehadiran beliau (Shahrizat) membuatkan saya terharu dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak YKN yang sanggup mengurangkan bebanan saya dan keluarga," katanya. -Mstar

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.