Pages

Friday, November 23, 2012

Khairy: Pentas Keramat Bakar Semangat Pemuda Hadapi PRU-13



Ketika ditemui semalam, raut wajah Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelihatan agak resah, mungkin kerana sedang menunggu sesi meluluskan Rang Undang Perbekalan 2013 (Bajet 2013) berjumlah RM251.6 bilion di Parlimen.

Namun, Ketua Pemuda UMNO yang lebih mesra dengan panggilan ‘KJ’ dalam kalangan kenalan rapatnya, tetap tenang menjawab soalan wartawan berkaitan perancangan dan persiapan sayap parti itu menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-66 bermula Selasa ini.

Beliau memberi jawapan mudah, tetapi jelas dan mempunyai fakta bahawa Pemuda UMNO akan menjadikan perhimpunan kali ini sebagai platform untuk meniupkan semangat dan memberi penerangan kepada ahli parti supaya tingkatkan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Naik semangat ahli

“Bagi saya, perhimpunan kali ini amat penting untuk digunakan sebagai peluang menaikkan semangat ahli dan jentera parti bagi menghadapi PRU akan datang. Ia bagi memastikan persiapan akhir dalam tempoh beberapa bulan sebelum PRU diadakan digunakan dengan baik.

“Ia termasuk memastikan segala persiapan sama ada jentera, logistik dan hujah di kawasan masing-masing dapat dijalankan dengan mantap,” katanya.

Dalam pada itu, perhimpunan berkenaan juga menjadi peluang kepada UMNO untuk menjelaskan kepada seluruh rakyat khasnya ahli parti dan perwakilan mengenai perbandingan di antara apa yang kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tawarkan dengan janji yang ditabur pembangkang.

“Ia akan menjadi medan untuk kita perjelaskan kepada rakyat sama ada janji itu realistik atau tidak. Kita akan memberi hujah kepada rakyat supaya mereka boleh menilai pilihan mana yang lebih baik,” katanya.

Walaupun begitu, beliau mengingatkan pembahas supaya tidak melepaskan peluang kali ini untuk menyampaikan hujah dan penerangan secara berhemah serta penuh intelektual.

Sebagai sayap yang mewakili suara generasi muda, beliau mahu hujah dan penjelasan yang disampaikan pembahas dapat memberi kesan kepada pengundi khasnya golongan muda.

Ini kerana, golongan itu perlu diberikan gambaran jelas mengenai pilihan yang ada di depan mereka pada PRU akan datang. Justeru, penyampaian hujah dan penerangan perlu bersandarkan kepada idea bernas dan tidak terlalu retorik.

“Perbahasan kita dibuat secara umum iaitu ada satu usul menyokong ucapan dasar Ketua Pemuda. Saya memberi kebebasan kepada pembahas tetapi mereka perlu beri cadangan yang bernas dan jangan terlalu beretorik.

“Ini adalah pentas keramat. Kita perlu tunjuk dan buktikan yang Pemuda betul-betul berupaya mempersembahkan kepemimpinan dan idea intelektual.

“Pembahas perlu membuat kajian dan penyelidikan supaya apa yang disampaikan itu memberi kesan. Memang gaya penyampaian itu penting tetapi kalau tidak ada isi, tidak ada maknanya,” katanya.

Kesungguhan beliau untuk memastikan golongan muda yang juga pengundi muda mendapat kefahaman yang jelas amat ketara apabila mahukan pembahas lebih bersedia melontarkan idea dan cadangan yang jitu.

“Sekarang ini, kita berdepan dengan peperangan idea dan minda. Kita hendak memastikan hujah kita disampaikan dengan jelas supaya perwakilan yang hadir dapat membawa balik hujah ke kawasan masing-masing untuk mematahkan ceramah dan penerangan pembangkang, sekali gus dapat mengambil hati generasi muda,” katanya.

Ini kerana, katanya pengundi muda adalah golongan yang akan menentukan keputusan PRU akan datang. Justeru, golongan itu perlu mendapat gambaran jelas mengenai pilihan ada di depan mereka. Bagi Khairy, perhimpunan ini adalah pentas dan peluang terbaik UMNO dan BN untuk menyampaikan pandangan kepada golongan berkenaan.

Tumpu kelompok atas pagar
Namun begitu, beliau tidak meletakkan harapan tinggi kepada mereka yang taksub dan sudah tertutup mata serta hati terhadap kebaikan yang UMNO lakukan.

“Keutamaan saya ialah kelompok atas pagar. Mereka yang buta hati terhadap kebaikan dibawa UMNO, saya ketepikan kerana tidak ada hujah yang boleh memenangi hati mereka.

“Tetapi bagi saya, majoriti orang muda yang termasuk dalam kelompok atas pagar dan mereka yang boleh diberi keyakinan akan menjadi sasaran.

Ketika ditanya mengenai agenda dan isu yang bakal dibangkitkan Pemuda, antara yang akan diberi penekanan ialah bagaimana hendak melahirkan pemimpin pelapis yang akan menjadi pewaris kepada perjuangan UMNO.

“Saya amat sensitif dengan soal kesinambungan (kepemimpinan), maka antara perkara yang akan disentuh adalah bagaimana hendak melahirkan pemimpin pelapis.

Menyedia pewaris parti

“Ini bukan satu keperluan yang mendesak sebab untuk menghadapi PRU akan datang, kita sudah membuat persiapan secukupnya. Tetapi bagaimana hendak melahirkan pemimpin bagi penggal akan datang dan dua penggal selepas itu.

“Sebagai Ketua Pemuda UMNO dan BN, tugas saya selain daripada menarik sokongan kepada UMNO adalah menyediakan pewaris parti, pemimpin pelapis.

“Sekarang ini saya sudah sampai ke hujung penggal pertama saya. Saya kena mula berfikir siapa dan di mana barisan Pemuda akan datang. Proses melatih pemimpin memang perlu bermula sekarang,” katanya.

Sesuai dengan suasana politik tanah air yang agak kritikal selepas PRU 2008 khasnya apabila pembangkang menjadikan UMNO dan BN sebagai sasaran serangan politik mereka, Pemuda katanya tidak akan meminggirkan agenda bagaimana hendak menangkis serangan itu.

Dalam hal ini katanya, UMNO tidak boleh terlalu bersikap bertahan kerana ada beberapa perkara dan isu yang ditimbulkan pembangkang sebenarnya tidak menyebelahi mereka.

Justeru, Pemuda akan menumpukan usaha dalam perhimpunan kali ini untuk menangkis serangan pembangkang menerusi hujah yang realistik dan membina.

“Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat yang kita sudah belajar daripada kesilapan lalu dan pada masa yang sama banyak perubahan sedang dilaksanakan di bawah program transformasi BN.

“Kita juga akan mengaitkan pelbagai kemelut melanda empat negeri dikuasai pembangkang yang sebenarnya menjadi bukti bahawa mereka ‘cakap tidak serupa bikin’,” katanya.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.