Politik PAS Kedah terus bergolak apabila beberapa pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan secara berterusan memberi tekanan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah Datuk Rasli Basir agar meletak jawatan. Beberapa demonstrasi diadakan oleh pihak ini bagi memaksimakan tekanan dengan harapan Datuk Rasli akan meletakkan jawatan, atau Menteri Besar Kedah serta DYMM Sultan sendiri akan mengambil tindakan sewajarnya.
Blog-blog penyokong PAS di Kedah juga turut membantu usaha ini dengan memburuk-burukkan Datuk Rasli. Berbagai teori dibentangkan lengkap dengan kisah-kisah sebalik tabir yang digambarkan dari berbagai sudut. Walaubagaimanapun, sudut penceritaan adalah terpulang kepada kepentingan para blogger yang menulis kisah tersebut.
Bagi menjustifikasi tentangan mereka terhadap Datuk Rasli, blogger PAS ini sanggup berkata apa saja termasuk menggambarkan exco Kedah Phahrolrazi yang menimbulkan kontroversi kerana terlalu gilakan jawatan MB sehingga sanggup menentang Azizan secara terbuka, sebagai dibeli oleh Datuk Rasli di padang golf untuk menggantikan Azizan dan seterusnya menjadi MB boneka UMNO!
Jika itu belum cukup untuk membuatkan kita terkesima, maka blogger PAS juga secara terang-terangan menuduh pihak istana juga telah dibeli oleh Datuk Rasli!
Antara kenyataan dari blogger PAS ialah, "Dato Rasli bijak dalam main jarum halus. Kerabat2 pihak Istana dia dah kawai, dah sokong dia untuk terus jadi SUK. Baguslah sebab kerana budi digadai body. Dato Phahrol pun depa dah beli di padang golf,berpelok2 dgn Man Saad. Sekarang depa minta Dato Phahrol perjatuh Ostat supaya Dato Phahrol jadi MB, jadi boneka UMNO."
Di kala Kedah sedang berhadapan dengan pendedahan audit yang menggambarkan kelemahan serta masalah korupsi dan kronisme yang kronik di negeri itu, tumpuan PAS terhadap isu SUK ini amatlah membingungkan.
Sepatutnya, semua pihak mendesak siasatan dilakukan terhadap semua projek-projek yang bermasalah yang terdedah dalam laporan audit bukannya sibuk menjatuhkan orang itu dan orang ini atas alasan-alasan yang rambang.
Apa yang dapat difahami dari semua tekanan yang diberi terhadap Datuk Rasli ialah, ianya berpunca dari tindakan beliau menukar Ahmad Fisol Md Nor, Pegawai Daerah Kubang Pasu ke Kuala Muda. Ahmad Fisol atau Hj. Fisol yang terkenal sebagai 'pensimpati' PAS sejak zaman pemerintahan BN lagi telah lama menyimpan dendam kerana merasakan bahawa jawatan SUK itu sepatutnya menjadi miliknya berdasarkan sokongan beliau kepada PAS selama ini.
Untuk pengetahuan, Datuk Rasli bukanlah orang politik dan beliau tidak pandai menangani serangan bersifat politik oleh Hj. Fisol. Selama ini beliau bertugas secara professional menjalankan tanggungjawabnya sebagai pegawai kerajaan negeri. Berlainan dengan Hj. Fisol yang mana gerakan politiknya kelihatan begitu terancang dalam usaha beliau menjatuhkan Datuk Rasli. Seluruh blog PAS Kedah membelanya dengan mengulang-ulang memaparkan cerita dari artikel yang sama bagi menyebarkan keburukan Datuk Rasli.
Malang bagi Kedah kerana mempunyai Menteri Besar yang tidak tahu apa-apa. Sedangkan pendedahan audit yang melibatkan kerugian berjuta ringgit yang tidak masuk akal juga tidak mendapat komen jelas darinya, inikan pula masalah politik dalam pentadbirannya.
Apa yang difahamkan ialah Ustaz Azizan adalah seorang yang amat mudah dipengaruhi jika kena caranya. Dan sekali beliau terpengaruh, beliau akan mempercayai orang tersebut 100%. Lanjutan itu, sumber-sumber dalaman memberitahu bahawa Ustaz Azizan sudah pun dipengaruhi oleh pihak Hj. Fisol yang meletakkan semua kesalahan dan kelemahan dalam pentadbiran Kedah ke atas bahu Datuk Rasli. Kononnya, Datuk Rasli sengaja ingin menonjolkan kelemahan Ustaz Azizan melalui kelulusan dan pengurusan projek-projek yang bermasalah.
Namun, pihak dalaman cukup maklum bahawa Ustaz Azizan tidak mampu mengawal orang-orang kepercayaannya. Beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada mereka sehingga mengatasi pegawai-pegawai kerajaan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian, banyak projek yang berjalan tanpa mengikut prosedur sepatutnya, di mana pegawai-pegawai kerajaan seperti Datuk Rasli diketepikan terus, konon atas perintah langsung Ustaz Azizan.
Sikap Ustaz Azizan yang tidak boleh ditegur juga menyukarkan Datuk Rasli atau sesiapa sahaja untuk membantunya membuat keputusan yang tepat. Akhirnya, bila sudah terhantuk, kepala Datuk Rasli pula yang dihulurnya untuk ditengadah.
Ustaz Azizan seharusnya pantas membuat keputusan berkenaan tindakan yang sesuai supaya kemelut ini dapat diselesaikan segera. Membiarkan masalah ini berlarutan tanpa sebarang komen dan tindakan hanya menimbulkan tandatanya rakyat selain membuang masa serta menjejaskan urusan pentadbiran negeri.
Datuk Rasli dilantik oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang kini Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, jika Ustaz Azizan percaya yang Datuk Rasli telah dengan sengaja 'menganiayanya', maka beliau wajar mendesak DYMM Sultan untuk menyingkirkan Datuk Rasli. Semakin lama Azizan membiarkan perkara ini berlarutan, semakin terserlah bahawa beliau sebenarnya mencabar pilihan Sultan.
Sebagai Menteri Besar Azizan perlu bertanggungjawab atas apa jua keputusannya sama ada untuk mendesak penyingkiran Datuk Rasli atau mengekalkan beliau di tempatnya. Apapun, Azizan tidak boleh berdiam diri, menutup mata dan memekakkan telinga seolah-olah tiada apa yang berlaku di sekelilingnya.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Sebenarnya sukar untuk MB utk ambil tindakan kpd SUK sebab KCS Kedah sememangnya dari dulu akan mengunakan istilah 'Kami KCS dilantik oleh Sultan' maka isu ini jadi rumit dan merbahay kpd Pakatan. Dimana mana sama contoh GLC di Kedah seperti PKNK hantarlah CEO mana2 pun kalau tak ngam maka CEO itu pun boleh bungkus. Tapi CEO sekarang licik
ReplyDelete