Pages

Saturday, December 1, 2012

Lagu Anak Kecil Main Api Hangatkan Perhimpunan... #PAU2012 #UMB


Lagu ‘Anak kecil main api’ cukup bermakna dalam perjuangan orang Melayu khususnya UMNO satu ketika dahulu. Lagu itu menghangatkan lagi hari kedua perhimpunan agung UMNO di Dewan Merdeka, PWTC pada Jumaat apabila perwakilan Kelab UMNO Tokyo, Arif Yasir Zulkafli, yang berbahas tiba-tiba menyanyikan lagu warisan itu.

Selesai dua baris lirik pertama lagu itu, ianya disambut Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruldin Amiruddin dan kemudian oleh pemimpin serta perwakilan UMNO yang berada di dewan termasuk Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kesemua mereka bangun dan terus menyanyikan lagu tersebut.

Ada antara perwakilan menitiskan air mata menghayati lirik lagu itu yang antaranya berbunyi “ air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang”.

Arif Yasir juga turut hiba dipentas dengan suaranya tenggelam timbul tidak dapat meneruskan nyanyian tetapi Badruldin meneruskan lagu bersama perwakilan.

Di luar dewan, orang ramai yang mengikuti persidangan melalui skrin besar turut bersama-sama menyanyikan lagu tersebut dengan pernah semangat.

Selesai lagu itu, Badruldin yang membahasakan dirinya Pak Din, memohon maaf kerana terlalu teruja dan bersemangat mendengar lagu itu.
Beliau kemudian meminta Arif Yasir meneruskan ucapan.

Pelajar berasal dari Pokok Sena dan kini menuntut di Tokyo, beberapa kali mencuit hati perwakilan dengan ucapan spontan dan caranya bercakap.

Perwakilan kerap memberikan tepukan terhadapnya.

Beliau turut menunjukkan pasport serta membaca peraturan di lampiran pasport itu yang sah digunakan untuk mana-mana negara kecuali Israel.

“Bangganya saya jadi anak Malaysia kerana kita tegas tidak mengiktiraf Israel dan kekejaman mereka,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana ketegasan tersebut.

Beliau turut memuji tindakan Kelab Putera 1 Malaysia memberi bantuan kepada beberapa negara luar yang ditimpa musibah dan peperangan.

Ini termasuk usaha membawa pulang anak-anak Malaysia tanpa kira fahaman politik keluarga masing-masing ketika negara tempat mereka belajar bergolak.

“Tak kira depa anak sapa, sokong sapa, semua depa pakat bawak balik,” katanya.

Satu ketika Arif Yasir mengeluh ….aduihh..dan disambut Pak Din, “ aik, baru sikit celah (berucap) dah aduh, Pak Long hang duduk atas ni dah berapa hari tak beraduh pun,”. – disambut gelak semua perwakilan.

Dalam ucapannya, beliau mencadangkan golongan muda atau belia sepertinya yang berada di luar negara terus diberi ruang dalam perhimpunan UMNO akan datang.

“Bawalah orang muda supaya ada idea sempoi,” katanya.

Beliau juga mahu ahli-ahli Kelab UMNO luar negara diserap masuk sama ada dalam Pemuda atau Puteri UMNO bagi membolehkan mereka meneruskan perjuangan parti.

Sambil berseloroh katanya, “Kami bukan nak jadi Ketua Bahagian atau CEO…kami sanggup bertatih asah bakat,”.

Diakhirnya ucapannya beliau berharap UMNO terus kekal kerana dengan perjuangan parti itu anak-anak muda sepertinya dapat meneruskan peluang belajar terutama di liuar negara. -Agendadaily

Berikut lirik lagu: Anak kecil main api.

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara

Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia

1 comment:

  1. Walaupun saya tidak mengikuti perkembangan penuh perhimpunan tersebut dan saya juga bukan ahli umno tapi lagu itu sebati dalam jiwa saya. Sebagai bekas graduan ITM saya tidak pernah lupa jasa kerajaan. Jelas sekali kita harus meneruskan perjuangan ayah nenek moyang kita. Jiwa saya begitu tersentuh oleh lagu tersebut sebab ayah saya adalah salah seorang "unsung heroes" yang tidak pernah meminta apa apa balasan atas perjuangan politik beliau. Dia faham perjuangan itu penting demi nasib anak cucu di masa akan datang. Kekayaan boleh dicari dimana2 jika rajin berusaha tapi kuasa memerintah orang Melayu bila hilang akan terus lenyap selamanya. Seharusnya kita ambil pengaaran dari sejarah dunia bila asib pribumi ditindas di negeri sendiri. Kita orang Melayu mesti bersatu demi apapun kerana kita cuma hanya tinggal kuasa......Terimakasih kerana mengingatkan saya....

    ReplyDelete

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.