Pages

Friday, November 23, 2012

Khairy: Pentas Keramat Bakar Semangat Pemuda Hadapi PRU-13



Ketika ditemui semalam, raut wajah Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelihatan agak resah, mungkin kerana sedang menunggu sesi meluluskan Rang Undang Perbekalan 2013 (Bajet 2013) berjumlah RM251.6 bilion di Parlimen.

Namun, Ketua Pemuda UMNO yang lebih mesra dengan panggilan ‘KJ’ dalam kalangan kenalan rapatnya, tetap tenang menjawab soalan wartawan berkaitan perancangan dan persiapan sayap parti itu menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-66 bermula Selasa ini.

Beliau memberi jawapan mudah, tetapi jelas dan mempunyai fakta bahawa Pemuda UMNO akan menjadikan perhimpunan kali ini sebagai platform untuk meniupkan semangat dan memberi penerangan kepada ahli parti supaya tingkatkan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Naik semangat ahli

“Bagi saya, perhimpunan kali ini amat penting untuk digunakan sebagai peluang menaikkan semangat ahli dan jentera parti bagi menghadapi PRU akan datang. Ia bagi memastikan persiapan akhir dalam tempoh beberapa bulan sebelum PRU diadakan digunakan dengan baik.

“Ia termasuk memastikan segala persiapan sama ada jentera, logistik dan hujah di kawasan masing-masing dapat dijalankan dengan mantap,” katanya.

Dalam pada itu, perhimpunan berkenaan juga menjadi peluang kepada UMNO untuk menjelaskan kepada seluruh rakyat khasnya ahli parti dan perwakilan mengenai perbandingan di antara apa yang kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tawarkan dengan janji yang ditabur pembangkang.

“Ia akan menjadi medan untuk kita perjelaskan kepada rakyat sama ada janji itu realistik atau tidak. Kita akan memberi hujah kepada rakyat supaya mereka boleh menilai pilihan mana yang lebih baik,” katanya.

Walaupun begitu, beliau mengingatkan pembahas supaya tidak melepaskan peluang kali ini untuk menyampaikan hujah dan penerangan secara berhemah serta penuh intelektual.

Sebagai sayap yang mewakili suara generasi muda, beliau mahu hujah dan penjelasan yang disampaikan pembahas dapat memberi kesan kepada pengundi khasnya golongan muda.

Ini kerana, golongan itu perlu diberikan gambaran jelas mengenai pilihan yang ada di depan mereka pada PRU akan datang. Justeru, penyampaian hujah dan penerangan perlu bersandarkan kepada idea bernas dan tidak terlalu retorik.

“Perbahasan kita dibuat secara umum iaitu ada satu usul menyokong ucapan dasar Ketua Pemuda. Saya memberi kebebasan kepada pembahas tetapi mereka perlu beri cadangan yang bernas dan jangan terlalu beretorik.

“Ini adalah pentas keramat. Kita perlu tunjuk dan buktikan yang Pemuda betul-betul berupaya mempersembahkan kepemimpinan dan idea intelektual.

“Pembahas perlu membuat kajian dan penyelidikan supaya apa yang disampaikan itu memberi kesan. Memang gaya penyampaian itu penting tetapi kalau tidak ada isi, tidak ada maknanya,” katanya.

Kesungguhan beliau untuk memastikan golongan muda yang juga pengundi muda mendapat kefahaman yang jelas amat ketara apabila mahukan pembahas lebih bersedia melontarkan idea dan cadangan yang jitu.

“Sekarang ini, kita berdepan dengan peperangan idea dan minda. Kita hendak memastikan hujah kita disampaikan dengan jelas supaya perwakilan yang hadir dapat membawa balik hujah ke kawasan masing-masing untuk mematahkan ceramah dan penerangan pembangkang, sekali gus dapat mengambil hati generasi muda,” katanya.

Ini kerana, katanya pengundi muda adalah golongan yang akan menentukan keputusan PRU akan datang. Justeru, golongan itu perlu mendapat gambaran jelas mengenai pilihan ada di depan mereka. Bagi Khairy, perhimpunan ini adalah pentas dan peluang terbaik UMNO dan BN untuk menyampaikan pandangan kepada golongan berkenaan.

Tumpu kelompok atas pagar
Namun begitu, beliau tidak meletakkan harapan tinggi kepada mereka yang taksub dan sudah tertutup mata serta hati terhadap kebaikan yang UMNO lakukan.

“Keutamaan saya ialah kelompok atas pagar. Mereka yang buta hati terhadap kebaikan dibawa UMNO, saya ketepikan kerana tidak ada hujah yang boleh memenangi hati mereka.

“Tetapi bagi saya, majoriti orang muda yang termasuk dalam kelompok atas pagar dan mereka yang boleh diberi keyakinan akan menjadi sasaran.

Ketika ditanya mengenai agenda dan isu yang bakal dibangkitkan Pemuda, antara yang akan diberi penekanan ialah bagaimana hendak melahirkan pemimpin pelapis yang akan menjadi pewaris kepada perjuangan UMNO.

“Saya amat sensitif dengan soal kesinambungan (kepemimpinan), maka antara perkara yang akan disentuh adalah bagaimana hendak melahirkan pemimpin pelapis.

Menyedia pewaris parti

“Ini bukan satu keperluan yang mendesak sebab untuk menghadapi PRU akan datang, kita sudah membuat persiapan secukupnya. Tetapi bagaimana hendak melahirkan pemimpin bagi penggal akan datang dan dua penggal selepas itu.

“Sebagai Ketua Pemuda UMNO dan BN, tugas saya selain daripada menarik sokongan kepada UMNO adalah menyediakan pewaris parti, pemimpin pelapis.

“Sekarang ini saya sudah sampai ke hujung penggal pertama saya. Saya kena mula berfikir siapa dan di mana barisan Pemuda akan datang. Proses melatih pemimpin memang perlu bermula sekarang,” katanya.

Sesuai dengan suasana politik tanah air yang agak kritikal selepas PRU 2008 khasnya apabila pembangkang menjadikan UMNO dan BN sebagai sasaran serangan politik mereka, Pemuda katanya tidak akan meminggirkan agenda bagaimana hendak menangkis serangan itu.

Dalam hal ini katanya, UMNO tidak boleh terlalu bersikap bertahan kerana ada beberapa perkara dan isu yang ditimbulkan pembangkang sebenarnya tidak menyebelahi mereka.

Justeru, Pemuda akan menumpukan usaha dalam perhimpunan kali ini untuk menangkis serangan pembangkang menerusi hujah yang realistik dan membina.

“Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat yang kita sudah belajar daripada kesilapan lalu dan pada masa yang sama banyak perubahan sedang dilaksanakan di bawah program transformasi BN.

“Kita juga akan mengaitkan pelbagai kemelut melanda empat negeri dikuasai pembangkang yang sebenarnya menjadi bukti bahawa mereka ‘cakap tidak serupa bikin’,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Khairy: Anwar Terdesak, Hargai Pendirian Australia



Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon campur tangan negara luar dalam pilihan raya negara ini dilihat sebagai tindakan terdesak.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan yang dilakukan oleh Anwar amat memalukan dan tidak bermaruah.

"Saya lihat beliau berada dalam keadaan terdesak dan cuba mencari sokongan dari kuasa asing, ini perbuatan yang amat memalukan.

"Kenapa perlu campur tangan dari pihak luar, negara kita mengamalkan demokrasi. Anwar perlu menghentikan usaha sebegini, kita mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) satu badan yang memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara adil dan saksama," katanya.

Semalam, Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr mendedahkan tindakan Anwar menulis surat kepada beliau untuk meminta Australia membantu dalam memastikan pilihan raya umum akan datang bebas daripada penipuan dan rasuah.

Carr menjelaskan Australia tidak boleh dan tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di Malaysia walaupun menerima rayuan berhubung perkara itu daripada Ketua Pembangkang.

Carr memberitahu bahawa pilihan raya di Malaysia merupakan urusan rakyat Malaysia sendiri.

Khairy berkata, Pemuda Umno menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Australia yang menolak permohonan itu dan mendedahkan tindakan yang dibuat oleh Anwar.

"Kami (Pemuda) amat berterima kasih dengan Kerajaan Australia yang mendedahkan taktik yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu, dan menolak permohonan yang dibuat oleh beliau.

"Pemuda mencabar Anwar untuk mendedahkan dan menyenaraikan semua negara yang beliau meminta campur tangan dalam proses demokrasi negara ini, saya percaya banyak lagi negara diminta campur tangan," katanya.-Sinar

Thursday, November 22, 2012

Manifesto Olok-Olok: Ibu Tunggal Saman Kerajaan Negeri Selangor


Seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman berjumlah RM10.9 juta terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana gagal memberikan elaun ibu tunggal seperti dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12.

Tuntutan itu difailkan melalui tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, pagi tadi.

Murtini Kasman, 58, selaku plaintif telah menamakan Kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai defenden pertama dan kedua.

Kesemua plaintif terdiri dari penduduk 11 kawasan Parlimen, antaranya Shah Alam, Tanjung Karang, Hulu Langat, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Kira-kira 50 wakil ibu tunggal turut hadir di kompleks mahkamah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

September lalu, seramai 711 pengguna air Selangor, memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM405,270 daripada Kerajaan Negeri Selangor berhubung tunggakan air percuma, yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008.-Agendadaily

Rakyat Kelantan Gesa Nik Aziz Tarik Balik Kenyataan Murtad



Seramai 10,000 rakyat Kelantan akan dikumpulkan oleh pihak Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) jika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menarik balik kenyataan Umno parti murtad.

Presidennya, Che Azmi Mohd Ali berkata, Nik Abdul Aziz perlu menarik balik ungkapan itu kerana boleh mengelirukan serta beri kesan negatif kepada perpaduan umat Islam.

“Jika dalam beberapa hari ini Nik Abdul Aziz tidak menarik balik kenyataannya itu, kami akan berkumpul sebagai tanda kecewa dengan sikap pemimpin tersebut,” katanya kepada media di sini, semalam.

Isnin lalu, Nik Aziz menafikan laporan media memetik beliau mengatakan 'Umno murtad". Beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.

Sebelum itu, Che Azmi bersama dengan Setiausaha Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood serta 100 ahli mereka menyerahkan memorandum kepada Pegawai Eksekutif Pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), Yasman Hashim.

Menurutnya, tindakan Pas berbuat demikian amat bertentangan dengan kehendak atau tuntutan agama Islam pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon Maik agar menyiasat kes tersebut kerana ia bersabit dengan kesalahan Seksyen 6 dan Seksyen 24 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985.

Che Azmi berkata, Seksyen 6 merujuk kepada perkataan tidak sopan, di mana sesiapa yang dengan sengaja mengeluarkan atau menyebar kata-kata yang bertentangan dengan hukum syarak yang mungkin boleh memecahkan keamanan di mana-mana tempat adalah bersalah atas suatu kesalahan.

Che Azmi berkata, perkara tersebut harus diambil tindakan segera kerana tidak sewajarnya menjadikan agama sebagai salah satu modal untuk berpolitik.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, di sini selepas menyerahkan memorandum di Maik. -Sinar

Wednesday, November 21, 2012

Ronnie Liu Gagal Kawal Maksiat, 1,278 Pusat Hiburan & 224 Hotel Bajet

Kerajaan Selangor mengakui pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu menghadapi masalah untuk melakukan penguatkuasaan terhadap kewujudkan sarang maksiat yang berselindung di sebalik premis pusat penjagaan kesihatan seperti refleksologi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, masalah utama yang dihadapi PBT ialah dari aspek penguatkuasaan walaupun proses pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan pada tiap-tiap masa. Arahan bagi semua PBT ialah operasi ini perlu dijalankan setiap masa.

“Cuma kuasa pada PBT adalah terhad,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Khasim Abdul Aziz (BN-Lembah Jaya) yang bertanyakan mengenai langkah yang diambil kerajaan negeri dalam melakukan pemantauan di pusat refleksologi yang didakwa melakukan kegiatan bertentangan dengan syarat pengeluaran lesen.

Justeru, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran berkata, kerajaan negeri memerlukan kerjasama pihak polis dalam operasi pencegahan terutama dari aspek penguatkuasaan.

“Kita minta polis beri kerjasama untuk perbanyakkan operasi pencegahan.

“Tanpa kerjasama polis, kuasa pada PBT adalah terhad,” katanya.

Selain itu Ronnie berkata, kerajaan negeri mengeluarkan sebanyak 179 lesen bagi aktiviti refleksologi, aromaterapi, fisioterapi, spa, sauna serta gimnasium di bawah kategori lesen pusat penjagaan kesihatan di dalam Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan sejak 2008.

Sementara itu, katanya sebanyak 1,278 pusat hiburan dan 224 hotel bajet diluluskan kerajaan negeri sejak 2008 hingga 2012 - mstar

1 KDN Semarak Kedamaian #SaveGaza @HishammuddinH20 @KhairyKJ







Selama ini ku melihat
Dunia ini penuh keganasan
Jeritan tangisan itu
Tersentuh hatiku
Bilakah semuanya akan berakhir

Manusia hilang pertimbangan
Kuasa menjadi rebutan
Tiada ketawa riang di mana cahaya
Si kecil itu menjadi mangsa

Pembunuhan...
Penindasan...
Demi jiwa keegoan
Keamanan kebebasan
Impian kekal impian
Leburkan rantai penghalang
Harapan kita

Semarakkan perjuangan kedamaian

Pembunuhan...
Penindasan...
Demi jiwa keegoan
Keamanan kebebasan
Impian kekal impian
Leburkan rantai penghalang
Harapan kita

Semarakkan perjuangan kedamaian

Sidang Media Mengenai Isu Perumahan Anak Muda di Selangor



1.     Isu tempat tinggal atau perumahan merupakan keperluan kritikal terutamanya di kalangan Anak Muda di Selangor. Kenaikan harga rumah menyebabkan Anak Muda di Selangor khususnya berada dalam dilema malah ianya juga amat membebankan kita semua.

2.     Isu ini juga melibatkan hampir kesemua demografi Anak Muda di Selangor tanpa mengira kaum dan agama. Setiap anak muda yang berada di Selangor sedikit sebanyak terasa dibebani dengan masalah perumahan sehinggakan ianya menjejaskan kualiti hidup mereka.

3.     Masalah perumahan ini juga sebenarnya perlu diberikan keutamaan dan kami berpendapat bahawa ianya menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan mampu milik atau pun kos rendah dan kos sederhana  kepada Anak Muda yang memerlukan.

4.     Tambah menyedihkan, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab ini malah tergamak berjanji bulan dan bintang demi meraih kepentingan politik sendiri.

5.     Isu perumahan mampu milik ini bukan kali pertama dibangkitkan. Ianya pernah dibangkitkan sebelum ini. Malah Koordinator BN, Dato Sri Ir Mohd Zin sendiri pernah menyuarakan pendapat beliau berhubung isu ini.

6.     Lantaran tekanan yang dihadapi, Kerajaan Negeri melalui Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan IKLAN di salah satu akhbar menyatakan jumlah rumah kos rendah, rumah kos sederhana dan rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan Negeri Selangor sejak 2008.

7.     Melihat kepada angka-angka yang dikeluarkan, Kerajaan Negeri sebenarnya cuba mengaburi mata rakyat Selangor dan memberikan indikasi bahawa mereka kononnya selama ini berusaha untuk menyediakan rumah mampu milik kepada Anak Muda di Selangor. 


8.     Namun begitu, nampaknya sekali lagi Kerajaan Negeri terperangkap dengan tindakan mereka sendiri. Ini kerana, dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal kelima DUN Selangor pada 26 Mac 2012, Exco yang sama telah menjawab soalan daripada ADUN BN mengenai bilangan rumah dan jenis unit yang dibina sejak 2008 hingga kini.

9.     Amat mengejutkan kerana statistik jawapan yang diberikan ketika Sidang DUN dengan iklan yang dikeluarkan adalah tidak konsisten dan sangat berbeza sama sekali. Tambah meragukan lagi, ada kawasan yang diumumkan mengalami pertambahan mendadak. Malah ada juga beberapa kawasan yang menunjukkan penurunan jumlah rumah yang dibina.

10.  Perbezaan yang sangat “significant” ini lah yang menimbulkan tanda tanya kepada rakyat sama ada “fact and figure” ini hanyalah fakta atau rekaan semata.

11.  Jadual di bawah menunjukkan contoh perbezaan “fakta” bagi Rumah Kos Rendah (RM42,000 ke bawah) yang telah disiapkan antara jawapan pada sidang DUN dan iklan dalam akhbar.

Bil
Daerah
Bilangan Unit (Jawapan sidang DUN)
26 MAC 2012
Bilangan unit
(Sinar Harian)
30 OKTOBER 2012
1
Gombak
180 (siap dan diduduki)
2,193
2
Hulu Langat
0
1,510
3
Klang
0
0
4
Kuala Langat
0
0
5
Petaling
0
1,696
6
Sepang
0
880
7
Hulu Selangor
107 (siap dan diduduki)
0
8
Kuala Selangor
Tiada Projek
191
9
Sabak Bernam
Tiada Projek
0


12.  Selain itu, perbezaan yang ketara juga ditunjukkan dalam rumah kos rendah yang masih dalam pembinaan sejak dari tahun 2008 hingga 2012.

Bil
Daerah
Bilangan Unit (Jawapan sidang DUN)
26 MAC 2012
Bilangan unit
(Sinar Harian)
30 OKTOBER 2012
1
Gombak
694
3,871
2
Hulu Langat
0
923
3
Klang
132
0
4
Kuala Langat
0
0
5
Petaling
0
4,242
6
Sepang
0
0
7
Hulu Selangor
0
0
8
Kuala Selangor
0
3,423
9
Sabak Bernam
0
22

13.  Dapat diperhatikan, data pada Daerah Klang menunjukkan bahawa terdapat 132 bilangan unit yang sedang dibina ketika Exco memberikan jawapan dalam sidang DUN namun pada iklan dalam sebuah akhbar, data tersebut adalah 0. Data juga begitu mencurigakan bagi kawasan seperti Petaling apabila dalam iklan di akhbar, ianya menunjukkan sejumlah 4,242 rumah kos rendah sedang dalam pembinaan sedangkan 7 bulan sebelumnya, tiada sebarang rumah yang dibina di kawasan tersebut.

14.  Persoalannya, angka manakah yang harus diterimapakai? Dimanakah lokasi sebenar perumahan ini? Apakah justifikasi yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menentukan jumlah rumah yang akan dibina di sesuatu kawasan dan siapakah pemaju yang membina rumah tersebut?

15.  Adalah mustahil jika mereka berkata bahawa rumah ini masih dalam perancangan dan belum dibina kerana mereka juga mengeluarkan data-data bagi rumah kos rendah yang baru diluluskan dan masih belum dibina.

Bil
Daerah
Bilangan Unit (Jawapan sidang DUN)
26 MAC 2012
Bilangan unit
(SInar Harian)
30 OKTOBER 2012
1
Gombak
778
1,278
2
Hulu Langat
708
1,300
3
Klang
170
5,059
4
Kuala Langat
1,730
176
5
Petaling
550
1,540
6
Sepang
562
280
7
Hulu Selangor
0
0
8
Kuala Selangor
0
357
9
Sabak Bernam
0
0

16.  Perbezaan antara bilangan unit yang disebut dalam sidang DUN dengan IKLAN yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar begitu ketara sekali. Persoalannya, mana satukah yang benar? Adakah Kerajaan Negeri sengaja memanipulasikan angka-angka ini bagi menunjukkan mereka sebenarnya membuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini ataupun ianya sebenarnya hanya wayang sahaja?

17.  Kami juga ingin bertanya tentang bagaimanakah Kerajaan Negeri membuat prosedur pendaftaran kepada penduduk Selangor jika mereka ingin memiliki rumah kos rendah ini? Adakah ianya secara ‘first come first serve’ ataupun secara undian ataupun perlu melalui proses-proses tertentu? Bagaimana pula dengan isu kelayakan dan kemampuan? Sehingga kini, berapa ramaikah yang telah memohon dan berapa peratuskah anak muda yang diberikan peluang untuk mendapatkan rumah kos rendah ini dari keseluruhan permohonan, jika ada?

18.  Dikesempatan ini juga, kami ingin mengalu-alukan Anak Muda seluruh Selangor yang berhasrat untuk memiliki rumah kos rendah agar menelefon talian Pusat Khidmat Rakyat (PAKAR) 1300-22-2626, BN Selangor bagi memberikan butiran peribadi agar kita sama-sama dapat membantu menyelesaikan kemelut perumahan di kalangan Anak Muda di Selangor.

Sekretariat Orang Muda Selangor (SERANG)
Majlis Belia Negeri Selangor
Pemuda UMNO
Pemuda MCA
Pemuda MIC