Pages
▼
Tuesday, January 29, 2013
Pengguguran Nasharuddin Bermotif Politik - PM
Tindakan PAS menggugurkan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura dilihat bermotif politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata tindakan itu dibuat selepas Nasharuddin, yang juga Anggota Parlimen Bachok, kembali dari menyertai lawatan kemanusiaan ke Gaza memberi persepsi bahawa ia ada kaitan dengan lawatan itu.
"Sepatutnya dia (PAS) menghargai lawatan ini sebab lawatan ini untuk kepentingan ummah dan kepentingan umat Islam.
"Tapi nampaknya mereka melihat ini sebagai lebih menguntungkan kerajaan, Umno daripada PAS.
"Mungkin itu menyebabkan mereka mengambil tindakan terhadap Ustaz Nasharuddin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi minum petang sempena Forum Tindakan Belia 2013 di sini, Isnin.
Najib berkata Nasharuddin adalah seorang yang percaya kepada kesatuan dan penyatuan ummah serta berpendirian bahawa perpaduan penting untuk mewujudkan satu ummah.
"Saya tak nak buat apa-apa spekulasi tapi dia (Nasharuddin) merupakan seorang pemimpin yang berjuang bukan untuk menidakkan mana-mana parti politik, dan sepanjang perjumpaan saya dengan beliau, beliau tidak mengutuk mana-mana pihak," katanya.
Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Zawawi Nik Salleh dilaporkan berkata pada Ahad bahawa Nasharuddin digugurkan kerana didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti ditetapkan Majlis Syura, dan keputusan telah dibuat pada 13 Januari lepas dalam mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Zawawi berkata antara sebab keputusan itu diambil ialah kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti, iaitu tidak hadir mesyuarat.
Sementara itu, Najib berkata matlamat utama lawatan beliau ke Gaza berjaya dicapai.
"Sepatutnya matlamat kita membantu rakyat Palestin, memperjuangkan isu Palestin dan tak membiarkan mereka terpinggir dan keseorangan.
"Dan mereka (rakyat Palestin) amat menghargai lawatan tersebut," katanya.
Di KUCHING, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pengguguran Nasharudin sebagai satu tindakan yang aneh.
"Beliau mengambil langkah-langkah yang dilihat untuk memperkukuhkan hubungan kita dengan Palestin, memperjuangkan nasib orang (rakyat Palestin) yang tertindas.
"Keputusan (pengguguran) dibuat seolah-olah menidakkan usaha-usaha baik dan kerja-kerja amal yang dilakukan Nasharudin, sedangkan PAS kata dia perjuangkan Islam.
"Dia (Nasharudin) perjuangkan sesuatu yang baik, saya percaya Nasharudin tidak akan berhenti dari usahanya berbuat sesuatu untuk umat Islam. Tapi apapun itu hak mereka (Majlis Syura Ulama), kita cuma memerhati apa yang dilakukan PAS," katanya.
-Bernama
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.