Pages

Sunday, January 20, 2013

Tolak Pemikiran Ekstremis - DS Najib #SeminarNusantaraKL


Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh umat Islam di negara ini menolak model pemikiran ekstremis parti politik tertentu seperti sanggup mengkafirkan insan seagama dan mengeluarkan pelbagai amanat yang membawa perpecahan.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, pendekatan liberalisme dan keterbukaan tanpa batas yang kini diperjuangkan golongan tertentu perlu ditentang kerana boleh memberi masalah kepada interpretasi dan syiar Islam.



Sebaliknya menurut beliau, umat Islam di negara ini perlu menghayati dan mengamalkan pendekatan wasatiyyah yang menjadi model pemikiran kerajaan dalam mendepani cabaran mendatang.

Menurutnya, Malaysia sejak 80-an lagi sudah diancam politik ekstremis berikutan parti politik tertentu sanggup mengkafirkan pihak lain dan mengeluarkan pelbagai amanat semata-mata mahu meletakkan mereka di puncak kuasa.

"Mereka menggunakan agama untuk menampilkan diri kononnya sebagai kumpulan paling makmum, bersih dan diredai Allah. Bagi mereka, keahlian politik boleh mengesah tiket sama ada mahu ke syurga atau neraka.

"Kerajaan pula digambar dalam keadaan paling buruk seperti 'maha zalim', 'maha firaun', kafir zalim dan rasuah," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Nusantara-Islam di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu.

Dalam pada itu Najib berkata, pendekatan wasatiyyah merupakan model kecemerlangan yang terbukti kerana banyak kerajaan Islam sebelum ini terutama di Asia Tenggara mencapai kegemilangan melalui konsep tersebut.

Berhubung seminar berkenaan beliau berkata, rantau Asia Tenggara mempunyai potensi sangat besar dan luas menjadi pemangkin kepada kegemilangan Islam tetapi memerlukan pendekatan kolektif semua pihak.

Jelas beliau, untuk mencapai kegemilangan itu semua pihak perlu bersungguh-sungguh mewujudkan masyarakat Islam yang celik pengetahuan dengan menggabungkan ilmu wahyu dan ilmu-ilmu baharu.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan turut dihadiri Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin.

Dalam majlis itu, Jamil Khir turut mewakili Perdana Menteri melancarkan buku bertajuk 'Fiqh: Mentaati Pemimpin' yang menghimpunkan tulisan tokoh-tokoh agama tersohor hasil susunan Persatuan Generasi Bistari.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.