Pages
▼
Saturday, February 16, 2013
Bilik Gerakan BN Kota Laksamana Disimbah Cat Merah
Melaka, Bilik gerakan Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana di Jalan Laksamana 8 di sini disimbah cat merah oleh pihak tidak dikenali.
Kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi hari ini dan disedari kira-kira 7 pagi tadi oleh seorang petugas bilik gerakan tersebut yang mendapati bahagian laman depan dan papan tanda premis itu dilempar dua bungkusan plastik cat merah.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata perbuatan khianat tersebut dipercayai dilakukan pihak pembangkang yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan kerajaan BN terhadap penduduk di kawasan tersebut.
"Ini tindakan provokatif pembangkang setelah mereka melihat sambutan rakyat terhadap BN kerana pelbagai masalah yang dibangkitkan penduduk berjaya diselesaikan BN," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu.
Beliau berkata pihak terlibat tidak sepatutnya berasa kecewa dengan kejayaan BN dan perlu menghormati amalan sistem demokrasi di negara ini.
"Sebagai ingatan (kepada pembangkang), reaksi rakyat sekarang BN boleh menang di kawasan ini, jadi jangan timbulkan huru-hara, mereka sepatutnya terima keputusan (Pilihan Raya Umum ke-13) dengan hormat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk Melaka Datuk Chiw Tiang Chai yang melawat tempat kejadian berkata pihaknya akan mengambil langkah keselamatan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak kejadian lebih buruk.
Beliau turut meminta mereka yang tidak berpuas hati agar menghubunginya bagi menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul dan bukannya dengan melakukan perbuatan khianat.
Katanya pihaknya akan melaporkan kejadian berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.