Pages
▼
Friday, February 1, 2013
Bubar DUN: Bukti Khalid Tertekan - Penganalisis
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan hasratnya untuk mengadakan pilihan raya negeri selepas Tahun Baru Cina bulan depan sebagai tindakan tertekan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Ahmad Atory mendakwa ini kerana Khalid Ibrahim dilihat semakin tertekan dengan pelbagai kontroversi yang dipalitkan terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor selepas gagal menunaikan segala janji manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008.
Malah, Ahmad Atory berkata tindakan Khalid itu sengaja dilakukan bagi mengelirukan rakyat.
Ujarnya, ini kerana hasrat kerajaan Selangor untuk membubarkan DUN selepas sambutan Tahun Baru Cina bulan depan, bukanlah suatu masalah kerana dewan akan terbubar dengan sendirinya dalam masa dua bulan lagi.
“Besar kemungkinan Khalid Ibrahim ini pun cemas, jadi dia pun ceritalah tentang pilihan raya yang tidak sama dengan kerajaan Persekutuan.
“Saya rasa Khalid ini dalam keadaan tidak menentu sudah sekarang ini. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin dia sepatutnya tidak membuat kenyataan tidak menentu. Sepatutnya dia diam dulu dan dia dilihat hendak menimbulkan satu lagi kekeliruan dikalangan rakyat sebenarnya,” katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas konsistensi Khalid dalam menyatakan pendiriannya bersabit mengadakan pilihan raya DUN berasingan dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Dalam pada itu, Atory berkata tindakan Khalid mengumumkan hasratnya untuk mengadakan pilihan raya berasingan itu mempunyai agenda tersendiri apabila dilihat cuba menutup isu-isu nasional yang membabitkan kepentingan rakyat terutamanya dalam isu kalimah Allah yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari lalu.
“Saya banyak nampak cubaan untuk menutup kalimah Allah ini, saya lihat mereka (Pakatan Rakyat) hendak cuba tutupkan tetapi tidak tertutup.
“PAS pun cuba hendak tutupkan isu ini tetapi mereka tidak tertutupkan, kalimah Allah ini lebih besar isunya,” katanya.
Sehubungan itu, Atory mencabar Khalid dan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya secara serentak dengan kerajaan Persekutuan sekiranya parti pembangkang benar-benar bersedia menghadapi kebangkitan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.
“Khalid Ibrahim ini suka mengambil kesempatan atas perkara yang tidak betullah, nampak sangat tidak berani, penakut, jadi kalau betul-betul profesional, apa yang hendak ditakutkan dengan BN?,” tegasnya.
Untuk rekod, DUN-DUN akan terbubar secara automatik biarpun Menteri Besarnya tidak membuat sebarang pengumuman untuk membubarkan DUN sebelum memberi laluan kepada kerajaan persekutuan membubarkan parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13.
Tarikh pembubaran DUN bagi Johor (21 Mac) ini, Negeri Sembilan 26 Mac, Pahang 7 April, Selangor 22 April, Perak 24 April, Melaka 26 April, Perlis dan Kelantan 28 April, Sabah 29 April, Pulau Pinang, Kedah 2 Mei dan Terengganu pada 5 Mei.
Bagaimanapun pada 28 April ini Parlimen Malaysia secara automatik terbubar jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak membuat sebarang pembubaran dalam tempoh sepenggal ini.
-Antarapos
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.