Pages
▼
Wednesday, February 20, 2013
Isu Xenophon: Wanita BN Tuntut Penjelasan Wan Azizah
Wanita Barisan Nasional menuntut penjelasan dari Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah sama ada benar penasihat PKR merupakan individu yang bertanggungjawab menjemput Senator bebas dari Australia Nick Xenophon datang ke Malaysia.
Menurut Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kehadiran Xenophon juga dilihat membawa agenda dan unsur negatif kepada negara yang mana boleh menggugat kestabilan dan keharmonian rakyat Malaysia yang selama ini hidup di bawah naungan kerajaan yang berdaulat dan berpelembagaan.
"Wanita BN juga menyokong tindakan Jabatan Imigresen Malaysia yang tidak membenarkan kemasukan Nick Xenophon ke Malaysia baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh media massa serta menggesa tindakan tegas seperti ini diteruskan untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara tidak tergugat,"katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula mengatakan Xenophon ialah seorang yang berat sebelah, tidak profesional dan hanya memihak kepada sebuah parti sahaja, justeru itu tidak layak menjadi pemerhati pilihanraya.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR pernah mengadakan perbincangan dengan Xenophon atas jemputan Anwar, tetapi perkara yang ditimbulkannya sama seperti isu yang dibangkitkan parti pembangkang.
"Jadi pemerhati patut bebas, tidak berat sebelah, yang tidak betul tegur walaupun siapa buat salah...Bila bias (dia) tidak dapat hendak jadi pemerhati yang adil dan saksama. Dia mewakili parti politik tertentu, (untuk) jadi pemerhati tidak bolehlah begitu," katanya.
Abdul Aziz berkata sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak perlu mengikut telunjuk (individu dari) negara lain untuk melakukan sesuatu.
"Saya percaya negara dia pun (Australia) tidak suka kalau Malaysia beritahu perdana menterinya supaya melantik Malaysia jadi pemerhati atas sebab (kononnya) banyak perkara tidak betul berlaku, itu maknanya kita sudah campur tangan dalam kedaulatan negara lain," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata isu-isu yang cuba dibangkitkan Xenophon adalah isu yang sama yang disuarakan oleh parti pembangkang.
"Untuk makluman, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar pernah mengadakan perjumpaan dengan dia. Pertanyaan serta keraguannya boleh dikatakan tidak berbeza langsung dengan perkara-perkara yang selalu ditimbulkan parti politik (pembangkang), seratus peratus serupa.
"Walaupun sama, kami tetap beri penjelasan kepada mereka," katanya.
Menurutnya antara isu yang dibangkitkan ialah persempadanan kawasan pilihan raya dan daftar pemilih.
"Saya sendiri pernah terangkan isu itu kepada Duta Australia ke Malaysia...beliau faham dan mengatakan beliau tidak bermaksud untuk campur tangan dalam sistem kita, tetapi cuma untuk pemahaman beliau sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.