Pages
▼
Friday, February 1, 2013
Karpal Singh Checkmate Tuan Guru Nik Aziz!
28 Januari lalu, Nik Aziz dilaporkan menghadiri perayaan Thaipusam di Pulau Pinang anjuran Pakatan Rakyat. Acara tersebut disertai oleh antara lain, ialah Pengerusi DAP Karpal Singh.
Pada petangnya pula, Nik Aziz telah mengunjungi Karpal Singh di kediamannya dan satu sambutan Hari Jadi Nik Aziz telah diadakan di situ, siap dengan kek yang mempunyai lambang ketiga-tiga parti sekutu PR.
Harakahdaily melaporkan bahawa kunjungan tersebut disambut dengan gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat sehingga menitiskan air mata. Begitulah gembiranya mereka melihat persahabatan seorang yang bergelar Mursyidul Am dengan seorang penentang Islam tegar yang sebegitu erat, akrab dan bersatu hati dalam ‘berjihad’ untuk menakluki Putrajaya.
Tidak salah jika dikatakan yang kegembiraan yang dirasakan mereka adalah sama dengan kegembiraan para pembaca Malaysiakini yang ‘menyambut meriah’ pemecatan Nasharuddin Mat Isa dari Majlis Syura melalui komen-komen mereka.
Untuk pengetahuan semua, tarikh lahir Nik Aziz adalah 10 Januari 1931. Kita tidak pasti sama ada Karpal yang telah bersedia untuk menyambut Hari Jadi Nik Aziz di rumahnya ataupun pihak Nik Aziz yang telah merancang terlebih dahulu.
Jika pihak Nik Aziz yang merancangnya, tentulah pelik kerana dalam lawatan ke utara itu, beliau dilaporkan turut mengunjungi kediaman Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak pada 27 Januari. Oleh itu, beliau boleh saja menyambut Hari Jadinya di rumah Azizan dan bukannya di rumah Karpal.
Mungkin, tidak seperti Karpal, Azizan terlupakan tarikh hari jadi Nik Aziz. Sebagaimana kita tahu, menyambut hari jadi yang menjadi budaya ‘Mat Saleh’ bukanlah amalan biasa bagi puak-puak PAS. Oleh itu, kita tidak hairan jika Azizan atau Nik Aziz sendiri tidak pernah mengingati tarikh lahir anak-anak mereka dan juga isteri mereka, jauh sekali menyambutnya. Selain itu, PAS juga terkenal dengan sikap ‘chauvinis’ lelaki zaman dahulu yang tidak mesra dengan keluarga dan PAS masih lagi kekal begitu, walaupun pendirian parti telah berubah serta perlembagaan kafir sudah menjadi Islam.
Justeru, puak-puak PAS pun begitu terharu bila Karpal Singh mengingati tarikh lahir Tok Guru dan bersusah-payah meraikannya. Mungkin ini pertama kali mereka memahami erti ‘penghargaan’ dari orang lain secara peribadi. Tok Guru pastinya percaya bahawa inilah makna persahabatan sejati.
Jika begini caranya Karpal menghargai persahabatan, tidak hairanlah jika Nik Aziz lebih menghargai arahan DAP dari kehendak akar umbi PAS mahupun tuntutan Al-Quran sendiri. Memandangkan sikap Melayu itu amat berhemah dan mengenang budi, Tok Guru tentulah akan merasa lebih ‘malu-alah’ lagi untuk menentang apa-apa pendapat atau arahan Karpal selepas ini.
Menyorot sejarah PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP, parti ini mengambil pendekatan ekstrem dan amat terkenal dengan sifat memusuhi bukan Islam. Malah, Amanat Hadi yang masih menjadi kontroversi itu juga adalah bertitik-tolak dari permusuhan terhadap bukan Islam. Pada ketika itu, telah menjadi fahaman ahli PAS bahawa terdapat satu undang-undang tidak bertulis yang perlu dipatuhi iaitu jangan sekali-kali mengundi bukan Islam walaupun sebagai wakil rakyat. Ini menjadi faktor utama UMNO ditentang atas alasan bekerjasama dengan MCA dan MIC.
Penulis yang ketika itu hanya seorang murid sekolah juga turut merasai ‘bahang’ permusuhan PAS terhadap bukan Islam apabila seorang rakan dari keluarga PAS enggan ke majlis hari jadi rakan bukan Islam dan memandang serong kepada penulis yang menghadirinya. Malah, jika terpaksa ke rumah rakan bukan Islam, rakan tersebut tidak akan minum air yang dihidang sedangkan air itu hanyalah air oren.
Namun, seperti yang disebut tadi, ini semua cerita lama, iaitu cerita PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP. PAS kini, sudah berubah dan sudah jauh lebih terbuka berbanding UMNO sendiri.
Hari ini, UMNO sanggup mati mempertahankan agama dan bangsa, tetapi PAS pula sanggup mati dari meninggalkan DAP. Bagi PAS, biarlah Hasan Ali mati, biar Nasharuddin dibuang asalkan DAP sayang. Orang seperti Hasan dan Nasha tidak tahu menghargai Tok Guru dan tak pernah pun beli kek Hari Jadi untuk Tok Guru, bukan macam Karpal Singh.
Lagipun, Karpal hanya sanggup mati menentang Islam, bukan menentang Tok Guru, bukan begitu?
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.