Pages

Monday, February 18, 2013

Najib Bagi Masej Kepada PAS Kelantan.... Bo La Weii!


Bo la weii (cukuplah)! Demikian laung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disambut kira-kira 15,000 anak Kelantan di perantauan dalam pertemuan anak-anak Kelantan di sekitar Lembah Klang bersama pemimpin itu petang semalam

Mesej bo la weii itu ditujukan khas kepada Pas yang mentadbir Kelantan sejak 1990.


"Kita tahu sudah banyak angkara berlaku. Sudah banyak dosa kepada rakyat Kelantan ini. Betul tuan-tuan?" soal Najib di program yang dinamakan Himpunan Perdana Anok-Anok Kelate 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil.

"Apa dosanya? Tanah dalam tangan dia hal siapa? Hak siapa?" soal Najib lagi di sambut dengan jawapan "rakyat."

Berdasarkan sambutan yang ditunjukkan dan juga kematangan rakyat menilai kepimpinan kerajaan di bawah pembangkang, Najib yakin gelombang merah akan berjaya menakluk Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Ini menunjukkan bahawa orang Kelantan sudah bersedia," ujar Najib penuh semangat.

Barisan Nasional (BN), kata beliau, akan memastikan nasib rakyat Kelantan akan berubah jika gagasan itu diberi peluang untuk kembali berkuasa di negeri pantai timur itu.

"Kita akan betulkan semuanya ini. Jika kerajaan Barisan Nasional diberi mandat, kita akan pastikan setiap isi tanah Kelantan ini hak rakyat Kelantan.

"Sebagai perdana menteri, saya akan pastikan bahawa apa yang kita janji adalah janji yang ditepati," ujar Presiden Umno ini.

Sehubungan itu katanya, beliau bersetuju untuk memasukkan tujuh projek besar yang diumum kepada rakyat Kelantan baru-baru ini ke dalam manifesto pilihan raya BN.

Ia kata Najib, sebagai bukti kesungguhan BN untuk menjadikan Kelantan sebuah negeri berteraskan Islam yang selari dengan kemajuannya.

"Malah antara perkara itu yang boleh dilaksanakan lebih awal lagi, laksanakannya untuk kita memberi keyakinan kepada rakyat Kelantan bahawa (sekarang) masa untuk tukar," tegas Najib yang juga Pengerusi BN.

Tujuh projek yang diumum Najib baru-baru ini merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.

Projek lain adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air.

Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak mahu lagi melihat rakyat Kelantan terpaksa berhijrah keluar dari negeri mereka demi mengecap kehidupan lebih baik, yang tidak mampu diberi kerajaan negeri pimpinan Pas sekarang.

"Saya sedih dengar setengah juta orang Kelantan terpaksa berhijrah keluar. Saya tidak mahu ada sejuta lagi orang Kelantan berhijrah keluar. Orang Kelantan ini cekap, malah ramai tokoh di negara kita orang Kelantan seperti Panglima Angkatan Tentera Malaysia (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin).

"Saya percaya barisan ini (tokoh) mampu bantu kerajaan beri perubahan kepada Kelantan jika diberi mandat (memerintah Kelantan)," katanya dipetik Bernama.

Najib berkata, dalam memberi perubahan besar 'gelombang merah' kepada Kelantan, kerajaan BN berdiri teguh di atas dua prinsip penting iaitu Islam dan kemajuan.

"Kita nak Islam dan kita nak juga kemajuan. Islam ini agama kemajuan, maka prinsip inilah yang memastikan kejayaan kita memajukan Kelantan nanti. Kejayaan inilah yang akan dibawa 'gelombang merah' nanti.

"Kita tak mahu macam mana dia janji bulan, bintang, syurga dan nak pertahan Islam. Tetapi bila kalimah Allah dipersoal, di mana mereka? Sudah cukup, kita tukar, bo la wei (sudah-sudah lah tu)," katanya.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.