Pihak berkuasa keselamatan berjaya mengesan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke Lahad Datu, Sabah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kumpulan tersebut menceroboh masuk Selasa disebabkan masalah yang berlaku di selatan Filipina.
Beliau berkata pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan tersebut dan mengarahkan kumpulan tersebut meletak senjata serta menyerah diri.
"Keadaan ini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang," kata Ismail dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan pada pukul 8.30 malam Rabu.
Menurut sumber polis, lebih 100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan militan dari selatan Filipina, bersenjata lengkap dan berpakaian celoreng tentera telah mendarat di persisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.
Bagaimanapun setakat 10 malam, pihak berkuasa keselamatan tidak dapat mengesahkan tujuan kumpulan itu sama ada merancang untuk melakukan aktiviti keganasan di bandar berkenaan.
Pihak berkuasa juga tidak dapat memastikan sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan tiga lelaki termasuk bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, minggu lepas dan kematian seorang rakyat Malaysia Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, yang ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina di Davao, selatan Filipina, 14 Dis lepas.
Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu dan hanya berkata "tunggu kenyataan daripada Ketua Polis Negara".
Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata polis Sabah masih menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut dan kemungkinan satu sidang media akan diadakan Khamis berhubung perkara itu.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.