Pages

Monday, February 18, 2013

PRU 13 : Anwar Ibrahim Guna Bekas Tentera, Kitar Janji Lama


Segelintir pesara tentera yang diumpan menyertai Pakatan Rakyat kini diguna untuk berkempen di kawasan yang didiami oleh anggota keselamatan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Malam tadi giliran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan "khidmat" mereka apabila beliau berceramah di kawasan perumahan yang berdekatan Kementerian Pertahanan (MINDEF) di sini.

Malah, Anwar mendakwa telah menawarkan kepada bekas-bekas panglima tentera untuk bertanding sejurus sebelum memulakan ceramah namun pelawaan itu ditolak oleh mereka.

"Kita tidak bayar pun mereka ini. Sepatah pun tidak dibincang. Malah Datuk Ghafir kata dia tidak mahu jawatan atau bertanding. Saya pujuk semua mereka tadi. Memang saya nak bagi semua satu kerusi.

"Saya tengok semuanya hebat-hebat. Tempatnya adalah di pimpinan negara. Tapi mereka kata akan bersama jelajah di seluruh negara, akan melancarkan serangan merantau untuk menentang kezaliman serta penyalahgunaan kuasa Umno," dakwanya di Keramat AU3, semalam.

Empat bekas tentera yang dibariskan semalam adalah Mantan Panglima Tentera Darat, Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Bridget Jeneral, Datuk Abdul Hadi Al-Khatab, Mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Datuk Najmi Hamid serta Laksamana Pertama Tentera Laut Diraja Malaysia, (B) Imran Hamid.

Keempat-empat bekas tentera itu menyampaikan ucapan masing-masing dengan membuat pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam unit dalam kementerian pertahanan.

Selain menggunakan bekas anggota tentera untuk meraih sokongan, Anwar terus menggunakan mantera lamanya dengan menawarkan pelbagai janji kepada rakyat.

Antaranya adalah pemansuhan sistem pengesan kelajuan kenderaan AES, meskipun saman di bawah sistem itu sudah pun ditangguhkan oleh kerajaan.

"Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat minggu lalu, PAS, DAP, Keadilan putuskan kita ambil alih Putrajaya, kita batalkan AES.

"Nak bayar AES, sokong Barisan Nasional. Tidak mahu bayar, sokong Pakatan Rakyat," ujarnya.

Sebelum ini Anwar juga berjanji untuk memansuhkan pinjaman pendidikan PTPTN, menurunkan harga minyak, menambah royalti kepada negeri-negeri sebanyak 20 peratus dan bermacam-macam lagi.

Bagaimanapun beliau dikecam kerana segala tawaran itu tidak berpaksi kepada realiti ekonomi negara dan sekadar "menjaja mimpi" kepada rakyat.

Pengkritik Anwar juga merujuk kepada janji-janji manifesto PKR tahun 2008 yang tidak ditunaikan oleh kerajaan negeri pimpinan parti itu. Anwar adalah penasihat ekonomi Selangor.

Antara janji yang dituntut oleh penduduk Selangor adalah rumah kos rendah, program untuk meningkatkan pendapatan nelayan dan petani, elaun bulanan untuk ibu tunggal dan penurunan cukai pintu.

-AntaraPos

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.