Pages
▼
Monday, March 11, 2013
Kakitangan Awam Dapat Satu Kenaikan Gaji Tahunan
Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.
"Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020', di sini.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.
Najib berkata semua inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).
Perdana Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.
"Ini bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa.
"Semoga inisiatif itu dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara," katanya.
Najib berkata sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.
Perdana Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.
-Bernama
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.