Pages

Wednesday, March 27, 2013

Sebab Undi PAS Itu Haram #TukarKelantan


Timbulnya ‘fatwa’ undi PAS itu haram, adalah mungkin ekoran pihak PAS sendiri yang merentangkan kain iklan bahawa undi PAS itu adalah wajib!

Hujah@alasan ‘fatwa’ haram itu adalah berpokokkan pada kerjasama PAS dengan DAP, yang menyaksikan stigma ‘perjuangan’ PAS selama ini untuk menegakkan negara Islam, sekali gus memperkasakan tata perundangan Islam, ‘digadai’ untuk serasi dengan tuntutan DAP. Tertinggi dalam tuntutan DAP ialah tidak boleh wujudkan ‘negara Islam’ dan melaksanakan ‘hudud’. Isu kalimah Allah pula adalah satu lagi ‘ujian’ terhadap keikhlasan PAS dalam memberikan kerjasama, walau pun PAS hanya diberikan kerusi parlimen, lebih kurang 70 saja untuk bertanding dalam PRU-13 nanti.

Melalui berita TV3 pula, Nik Aziz, yakni Mursyidul Am PAS, membalas balik ‘fatwa’ haram itu dengan meminta hujjah, kerana beliau pun boleh kata ‘undi UMNO itu haram’. Inilah yang menyebabkan penulis rasa terpanggil untuk memberikan pandangan.

Penulis melihat isu undi haram ini dalam konteks amalan umat Islam. Ini kerana umat Islam boleh berada dalam negara Islam, dan boleh juga berada dalam negara bukan-Islam. Pun begitu asas dan prinsip ajaran tetap sama, seperti kejujuran dan keikhlasan yang dituntut dilaksanakan oleh umat Islam walau terhadap bukan Islam sekali pun. Tegasnya, neracanya ialah kejujuran dan keikhlasan, bukan umat Islam itu sendiri.

Sehubungan dengan amalan umat Islam ini, mereka sering diperingatkan tentang berguru dengan tokoh ulamak. Amalan tidak boleh diambil semberono, tetapi perlu menepati ajaran dalam Islam, atau lebih jelas lagi, berada dalam sanad Nabi saw.. Inilah yang dikira amalan yang betul.

Sungguh pun begitu, ’orang’, yakni tokoh ilmuan/ulamak, yang dipergurukan itu, perlu lah seseorang yang berilmu dan berwibawa.

Dengan kata lain, dalam amalan itu terdapat dua hal: amalan (yang menepati ajaran Islam) dan ‘pembawa’ (tok guru) amalan itu. Maksudnya, jika amalan itu menepati ajaran Islam, maka perlu perhalusi si tok guru itu pulak.

Jika dipadankan dengan situasi politik semasa, istimewanya dalam kes mengundi, maka tindakan mengundi itu dikira amalan, manakala pihak yang bertanding – baik secara individu, atau pun tiket parti – adalah dikelasifikasikan sebagai ‘tok guru’, kerana merekalah kelak yang akan mempunyai kuasa, atau dikelaskan sebagai pihak berkuasa.

Dengan kata lain, mengundi adalah satu amalan, yakni tindakan, yang perlu selaras dengan tata atau ajaran Islam. Ini tanpa mengira sama ada tatacara mengundi secara demokrasi yang diamalkan dewasa ini, kompatibel dengan ajaran Islam atau pun, masih tidak menepati ajaran Islam sepenohnya. Maksudnya, selaras dengan ajaran Islam itu ialah apabila undian itu diberikan kepada tokoh (yakni tok guru) yang jelas memiliki kepimpinan Islam. Atau boleh juga dikatakan, siapa yang lebih menepati ajaran Islam, yakni bila dibandingkan antara calon-calon yang bertanding.

Perlu diingati ialah tentang hadis yang meminta supaya memilih (tokoh) yang terbaik. Terbaik ini merujuk kepada semua aspek, bukan sekadar mahir dalam ilmu agama semata-mata (atau bertokoh ulamak semata-mata), tetapi juga arif dalam pentadbiran dan pengurusan negara, menjaga kepentingan bangsa dan umat Islam, sihat dan bertenaga, dan sebagainya.

Justeru, bersandarkan pada senario sebeginilah, maka timbulnya nilaian, yakni ‘fatwa’, sama ada mengundi sesatu pihak itu dapat difatwakan sebagai haram atau pun tidak.

Oleh itu, bila PAS yang termaktub dalam perlembagaannya, memperjuangkan negara Islam, tiba-tiba kepimpinannya didapati bersekongkol dengan pihak yang menentang penubuhan negara Islam (yakni DAP), maka ‘fatwa’ haram itu adalah jelas dan tepat.

Malah terdapat banyak lagi contoh-contoh kepimpinan PAS yang melanggar ajaran Islam. Paling tersohor ialah Amanat Haji Hadi, yang mengkafirkan UMNO, bersekali dengan ahli-ahlinya, walau pun mereka masih beragama Islam. Paling utama pula ialah bila perjuangan ‘ketuanan Melayu’ dikatakan tidak ada dalam Al-Quran, lalu digantikan dengan ‘ketuanan Islam’, sedangkan orang Melayu itu adalah orang Islam. Dalam pada itu, PAS tidak menjelaskan pula siapa yang bakal memainkan peranan dalam ‘ketuanan Islam’ itu… adakah orang Cina, India atau pun siapa?

Paling parah ialah bila N.Aziz, yang diberikan jolokan ulamak mursyid itu, menyifatkan Nabi Muhammad saw. itu adalah sama seperti Mamat-Mamat di kampung-kampung! Ini adalah suatu fitnah, dan penghinaan terhadap junjungan, meski pun sebelum baginda dilantik jadi nabi lagi pun.

Jika hendak di sebutkan kes-kes lain lagi, maka berderetan lah contoh-contohnya…

Apa yang jelas ialah hujah di sebalik ‘fatwa’ mengharamkan undian ke atas PAS.

Selebihnya, mengundi UMNO adalah harus, dan tidak boleh dimasukkan ke dalam kandang ‘haram’ langsung. UMNO juga perjuangkan Islam, sebagaimana terbukti wujud dalam Perlembagaanya, selain mengotakan apa yang diperjuangkan. Apatah lagi kepimpinan yang ada pada hari ini yang seringkali mengajak PAS bersatu dalam memperjuangkan kepentingan bangsa, negara dan agama. UMNO hanya minta Amanat ditarik balik, dan tidak pun mengatakan PAS bukan sebuah parti atau pertubuhan Islam pun.

… dan jika hendak disebutkan kes-kes lain lagi, maka berderetanlah contoh-contohnya…

Umat Islam sememangnya perlu faham, akur dan dijadikan nadi amalan bila syurga yang berada di bawah tapak kaki seseorang ibu itu, tidak dimestikan mematuhi si ibu jika si ibu berada dalam landasan yang bertentangan dengan ajaran Islam…. Inikan pula PAS dan tokoh-tokoh ‘ulamak’nya itu!

Oleh : Mohd Khairi Wan Ali

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.