Pages

Saturday, March 16, 2013

Segerakan Penubuhan Suruhanjaya Diraja Siasat Pencerobohan Lahad Datu...


Kerajaan diminta mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, apabila suruhanjaya tersebut dibentuk, komposisinya perlu melibatkan semua pihak yang terdiri daripada golongan yang mempunyai integriti termasuk wakil daripada parti pembangkang, profesional dan pihak keselamatan.

"Dan penyiasatan yang dibuat oleh suruhanjaya ini mestilah dibuat secara terbuka seperti inkues di mahkamah kerana kita tidak mahu politikkan isu ini.

"Kita hanya hendak mencari kebenaran. Kalau ada dakwaan (mengenai) golongan ini, golongan itu terlibat, itu dakwaan. Bagi pandangan kita, yang penting adalah mendapatkan kebenaran berasaskan fakta dan maklumat yang boleh diterima oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Gerakan Rakyat Menolak Pengkhianat di hadapan Masjid Negara di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Turut hadir Mursyidul Am Gerakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Zahid Md Arip, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dan Presiden GAPS Hamidzun Hamid.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, selepas penubuhan Suruhanjaya Diraja, kerajaan boleh menyusulinya dengan kertas putih untuk memperincikan lagi dari segi hal-hal yang berkaitan dengan teknikal.

Ini kerana katanya, timbul persoalan apabila segelintir pihak bahawa kumpulan Sulu menceroboh Lahad Datu tetapi kerajaan mengambil masa tiga minggu untuk bertindak.

"Ada pihak mengatakan kononnya kerajaan lemah lambat bertindak. Jika kerajaan bertindak cepat, berlaku sesuatu yang tidak diingini, ada pihak antarabangsa atau pihak lain yang mengambil kesempatan akan menuduh kita zalim.

"Kita kena lihat senario secara fakta, maka sebab itu susulan kertas putih adalah penting bagi rakyat memahami," katanya.

Beliau menambah, timbul pelbagai persepsi mengenai insiden Lahad Datu maka ia perlu dijawab oleh pihak keselamatan dan mana-mana pihak supaya isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan atau disensasikan.

"Terserah kepada pihak yang dicadangkan (dalam Suruhanjaya Diraja) untuk menentukannya. Cuma kita mesti melakukan penerangan dan kesedaran untuk rakyat seluruh negara mengenai betapa pentingnya kita dengan pihak keselamatan dan kerajaan menjaga kedaulatan negara, serta menyeru rakyat untuk bersatu," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, mengenai dakwaan dalang di sebalik insiden Lahad Datu, terdapat plot-plot individu yang mempunyai kaitan dengan ketua pemberontak Filipina, Nur Misuari.

"Tetapi ia hanya sekadar plot-plot macam itu sahaja maka tiada yang konklusif. Tetapi yang tiada konklusif itu timbulkan persoalan maka kita perlu mendesak Suruhanjaya adakan kertas putih untuk menghilangkan sebarang keraguan yang pastinya akan timbul.

"Jika di luar daripada Suruhanjaya dan kertas putih, saya yakin pelbagai tohmahan dan tuduhan akan terus berlaku dan menimbulkan masalah," katanya sambil menambah bahawa gerakan yang menolak pengkhianat negara itu melibatkan lebih kurang 30 NGO dari seluruh negara.

Sebelumnya, ratusan orang awam berkumpul di hadapan Masjid Negara selepas selesai solat Jumaat bagi menggesa semua rakyat bersatu untuk mempertahankan kedaulatan negara berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Menurut Dr Hasan Ali setiap rakyat tanpa mengira bangsa perlu menjalinkan hubungan bersama dalam memberikan sokongan dalam usaha menjaga keamanan negara.

"Berilah sokongan tidak berbelah bahagi kepada anggota keselamatan yang memperjuang negara.

"Bagi pihak Jati yang memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu, kami tidak reda dengan apa yang berlaku...tidak reda dengan tindakan kumpulan pencerobohan yang mahu menjajah Sabah," katanya.

Mengenai dakwaan wujudnya dalang di sebalik insiden pencerobohan Lahad Datu, beliau menggesa agar 'penyuntik kuman' yang menggugat kedaulatan negara dihapuskan dengan segera.

"Kita nyahkan individu-individu yang menyuntik kuman-kuman keganasan,pertempuran sesama sendiri dan membawa kepada perpecahan umat Islam.

"Jika ada pencuri masuk ke rumah kita, kita halau...tapi ada kumpulan yang menceroboh masuk ke negara kita. Mari kita sama-sama tentukan mereka dapat balasan sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru Datuk Zulkifli Nordin turut menyeru rakyat Malaysia supaya menjadikan peristiwa di Lahad Datu sebagai satu pengajaran dan bersama membangkitkan solidariti dalam mempertahankan negara.

"Kita sedang berdepan dengan keadaan yang mengancam kedaulatan negara ekoran pencerobohan di Lahad Datu. Jadikan peristiwa itu sebagai satu pengajaran kepada kita," ujar beliau.

-Agendadaily

1 comment:

  1. orang yg menyebar fitnah ini ibarat orang yg menanam saham. konsepnya sama macam saham MLM.
    dari 1 orang kepada 2 orang. dari 2 orang kepada 4 orang. dari 4 orang kepada16 orang. dan begitulah seterusnya bertambah.

    jika berita ini fitnah, dan orang yg kena fitnah itu tak maafkan, memang malang lah. roh kita di akhirat akan terawang2 di pintu syurga sebeb tak dapat masuk syurga selagi orang yang kena fitnah tak maafkannya.

    begitulah di neraka nanti. orang yang buat fitnah, menyebar dan mempercayainya akan di bakar dgn api nerakan yang amat panas.

    bayangkanlah berita yg kita dengar dari 1 orgn ke 1 orang. di dunia ini saja cukuplah. macamana nak cari orang yg menyebarkan firnah itu ke telinga kita. nak minta maaf kat orang yang percaya fitnah kita.

    memang tersiksa roh kita nanti. orang lain masuk syurga, kita yg dah diberi peluang tetapi tergantung tak boleh masuk syurga sbb masih ada orang lain yg kita tak jumpa utk meminta maaf atas fitnah kita.

    ReplyDelete

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.