Pages
▼
Wednesday, March 13, 2013
Selepas 48 Jam Tenang, Pasukan Keselamatan Kembali Bertempur
Selepas lebih 48 jam tenang tanpa sebarang pertempuran, bumi Lahad Datu yang menjadi lokasi pencerobohan kumpulan militan bersenjata Sulu kembali menumpahkan darah hari ini.
Operasi membanteras, menggeledah dan pembersihan militan yang memasuki hari kelapan hari ini (semalam) menyaksikan seorang anggota keselamatan terkorban, kematian pertama dialami pasukan tentera sejak Operasi Daulat dilancar Selasa lalu.
Kejadian di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu itu terjadi selepas pasukan keselamatan yang sedang melakukan operasi pembersihan bertembung dengan sekumpulan musuh yang bertindak melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.
“Dalam pertempuran itu dua musuh berjaya dibunuh, malangnya seorang anggota kita turut gugur dan seorang lagi cedera,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam sidang media pada 8 malam.
Hari kelapan Operasi Daulat juga menyaksikan seorang lagi anggota tentera terkorban apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad Datu-Cenderawasih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 anggota keselamatan maut sejak tragedi pencerobohan 12 Feb lepas.
Di sebalik rasa hiba, ada juga berita menggembirakan diterima selepas tragedi pendaratan pengganas di Kampung Tanduo yang genap sebulan hari ini – kampung tersebut diisytiharkan bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas militan.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang mengumumkan perkara itu berkata operasi pembersihan pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian.
Sehingga sidang akhbar itu, polis mengesahkan 56 orang kumpulan militan ditembak mati dengan 24 mayat berjaya dikeluarkan, manakala 97 orang ditahan disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas dan 196 orang lagi ditahan kerana memasuki kawasan larangan.
Sementara itu pengganas yang menceroboh Lahad Datu dan Semporna yang ditahan bakal berdepan tindakan undang-undang selepas polis membuka dua kertas siasatan berhubung pencerobohan itu.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bentuk tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas itu akan ditentukan selepas dibincangkan bersama Peguam Negara.
Dalam pada itu, nasib penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas turut diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan apabila mengumumkan tiga bantuan khas bagi Kampung Tanduo dan Tanjung Batu.
Bantuan meliputi pemberian bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat ke kawasan tragedi itu hari ini.
Kesemua bantuan itu hanya akan diberi kepada penduduk yang memiliki kad pengenalan dan dokumen kelahiran yang sah sebagai warganegara ini.
“Bagi kesemua bantuan itu, penduduk perlu mendapatkan pengesahan daripada ketua kampung, pemimpin setempat dan pihak berkuasa bagi menentukan mereka merupakan penduduk yang terjejas dalam Operasi Daulat,” kata Muhyiddin.
Selain dua anggota tentera yang terkorban hari ini, krisis pencerobohan itu turut meragut nyawa lapan anggota polis yang terbabit dalam serangan hendap pengganas, iaitu dua di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di Semporna sehari selepas itu.
-Bernama
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.