Pages
▼
Friday, March 29, 2013
#TolakPR - Wan Azizah cabar kedudukan MB Khalid: Dr Atory
Keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah mengumumkan untuk bertanding di kerusi DUN Selangor disifatkan sebagai mesej 'keras' kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar kini sedia dicabar.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, ini berdasarkan rekod sepenggal Khalid sebagai ketua negeri Selangor yang tidak memuaskan.
Kata beliau, sekiranya Wan Azizah menang di Selangor pada pilihan raya umum nanti dengan mengambil kira status beliau sebagai pemimpin tertinggi dalam PKR, tidak mustahil sekiranya Khalid disingkirkan.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan pembangkang cuba untuk menampilkan wanita pertama menjadi menteri besar.
"MB Selangor banyak buat hal, banyak masalah, saya rasa PR kalau menang di Selangor, mereka tidak akan memberi lagi sokongan kepada Khalid Ibrahim, jadi sebab itu mereka terpaksa meletakkan Datin Seri Wan Azizah, ada kemungkinan dia akan menjadi MB Selangor kalau dia menang," katanya kepada Antarapos.
"Buat apa letak Wan Azizah di DUN saja, kalau tidak dinaikkan jadi Menteri Besar lebih baik dia tidak bertanding di DUN, parlimen lebih baik," katanya lagi.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mengumumkan bahawa Khalid akan dikekalkan sebagai calon kerusi parlimen Bandar Tun Razak namun tidak menyatakan sebarang keputusan bersabit kerusi DUN Ijok.
Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat Azmin Ali sebelum ini dipetik sebagai berkata mungkin peranan Khalid akan lebih tertumpu di peringkat persekutuan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya kerana beliau disifatkan sebagai 'material' parlimen.
Rakyat P. Pinang hilang keyakinan terhadap Anwar
Dr Atory kemudian membayangkan keengganan Presiden PKR itu bertanding sama ada di DUN di Pulau Pinang adalah disebabkan penolakan kuat oleh rakyat di situ yang semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sekarang ini di Pulau Pinang gelombang hendak menjatuhkan Anwar Ibrahim sangat kuat, soal menang tak menang itu lain.
"Dulunya pemimpin Umno Permatang Pauh yang berpecah kini sudah bersatu dan menumpu sepenuhnya di situ, sebab itu saya rasa Anwar Ibrahim terkena 'penangan' ini biarpun Anwar kata dia bertanding di mana-mana pun dia akan menang.
"Tetapi dalam situasi sekarang ini belum tahu lagi, itu dulu 2009 bolehlah tetapi dalam masa empat tahun ini sudah banyak perubahan berlaku ekoran transformasi yang dilakukan oleh kerajaan," katanya lagi.
Anwar pada minggu lalu membayangkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh sebaliknya berhasrat untuk bertanding di Perak ataupun Selangor.
Semalam Azizah memberi bayangan kemungkinan akan bertanding di DUN Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bagaimanapun menurutnya keputusan itu belum diputuskan parti memandangkan pembubaran Parlimen masih menjadi teka-teki.
Sementara itu, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar tidak menyatakan sebarang sokongan mahupun menolak cadangan Wan Azizah untuk bertanding di DUN Selangor.
Katanya itu hak beliau sebagai presiden parti untuk bertanding di mana-mana kerusi.
"Sebagai presiden dia boleh bertanding di mana-mana. Saya bukan setuju ke tidak, saya tak boleh kata apa-apa. Itu hak presiden, kalau dia nak bertanding, kalau bincang dalam mesyuarat politik, lepas tu ada kefahaman itu keputusan parti," kata beliau ketika dihubungi.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.