Pages
▼
Tuesday, April 16, 2013
#PRU13 Isa Samad Lawan Aishah di Jempol
SEREMBAN – Spekulasi sebelum ini yang mengatakan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad akan kembali bertanding kerusi Parlimen Jempol akhirnya menjadi kenyataan, semalam.
Mohd Isa yang menyandang kerusi Dun Bagan Pinang, disahkan bertanding bagi kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini selepas diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, semalam.
Keputusan itu bukan saja menyaksikan Mohd Isa kembali semula ke kerusi sama yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum 2004, malah lebih menarik, beliau akan bertemu dengan penyanyi popular era 90an, Wan Aishah Wan Ariffin, atau Aishah yang bertanding di bawah tiket Pas.
Mohd Isa berkata, pertukaran kerusi beliau daripada Dun Bagan Pinang ke Parlimen Jempol bukanlah sesuatu yang pelik kerana sebelum ini pun beliau amat rapat dengan masyarakat peneroka di kawasan tersebut.
Menurutnya, dengan tersenarai semula namanya di Parlimen Jempol, memudahkan beliau memberi nafas baru kepada seluruh masyarakat sekitar kawasan itu, terutama peneroka Felda.
“Walaupun saya tidak pasti apa faktor utama kenapa saya dipilih untuk ke Jempol, namun saya yakin pucuk pimpinan lebih mengetahuinya.
"Bagaimanapun, memandangkan Jempol ini terdiri daripada ramai ahli peneroka Felda, tidak mustahil untuk saya mendapat sokongan daripada mereka. Saya yakin seluruh masyarakat Jempol akan memilih Barisan Nasional (BN), sekaligus menyokong saya pada PRU13 ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman dan Penyampaian Watikah di Kediaman Menteri Besar, di sini, hari ini.
Mohd Isa berkata, beliau juga yakin akan dapat membantu merampas kembali Dun Bahau dari pembangkang, sekaligus mengekalkan kerusi di empat Dun bawah Parlimen Jempol seperti Palong, Serting, Jeram Padang dan Bahau.
Pada PRU12 lalu, kerusi Parlimen Jempol dimenangi Datuk Lilah Yassin selepas mengalahkan calon Pas, Siti Meriam Naam (Pas) dengan majoriti besar 12,320 undi.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.