Pages
▼
Sunday, April 14, 2013
#PRU13 #TukarKelantan - Pengundi Mahu Nik Aziz Berundur
KOTA BAHARU – Pada usia menjangkau 82 tahun dan sudah empat penggal memegang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, sudah tentu pengumuman Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mempertahan kerusi itu bagi penggal kelima pada pilihan raya umum 5 Mei ini, mendapat reaksi negatif sesetengah pengundi.
Mereka berpendapat bukan sahaja mursyidul am PAS itu sudah lanjut usia, tetapi dengan pelbagai penyakit yang dihadapinya, beliau dirasakan tidak lagi berkemampuan untuk memimpin disebabkan keuzurannya.
Justeru, mereka mendesak agar Nik Aziz tidak bertanding lagi pada PRU13 ini dan sekali gus berundur daripada memegang jawatan menteri besar Kelantan.
Umum mengetahui Nik Aziz pernah menjalani rawatan jantung pada Ogos 2010 dan sehingga kini, beliau masih menerima rawatan berterusan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Nik Aziz bagaimanapun mendakwa masalah kesihatannya tidak menjejaskan kemampuannya untuk bertanding kerana baginya untuk menjadi wakil rakyat tidak semestinya sihat tubuh badan.
Sebahagian pengundi di DUN Chempaka yang ditemui turut mengatakan Nik Aziz gagal membangunkan DUN Chempaka walaupun telah lama menjadi wakil rakyat di situ.
Menurut mereka, pelbagai pembangunan yang dilaksanakan di Pengkalan Chepa, bukan atas usaha Nik Aziz ataupun kerajaan negeri tetapi hasil usaha kerajaan pusat seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Institut Pendidikan Guru Kota Baharu dan yang paling ketara cawangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Taman Bendahara.
Taman Bendahara kini cukup terkenal dan menjadi pusat pertumbuhan baharu dengan adanya UMK.
Projek tebatan ombak bernilai jutaan ringgit di sepanjang Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan juga hasil keprihatinan kerajaan pusat, kata Yusoff Saad, 47, penduduk Pantai Sabak, kawasan yang sering dipukul ombak besar setiap kali musim tengkujuh.
“Rumah kami banyak yang hanyut kerana ombak kuat. Nik Aziz datang pun tidak, menjenguk kami. Lama kelamaan kami yang tinggal di pesisir pantai ini dah tak ada tempat tinggal.
“Mujurlah kerajaan pusat bina benteng penahan ombak. Kuranglah sikit ketakutan kami,” katanya.
Pembaik alatan elektronik, Wan Lah Husin, 59, berkata kalau boleh biarlah orang lain yang memimpin pula.
“Walaupun peluang Barisan Nasional (BN) dikatakan tipis tetapi sekarang saya yakin ramai yang sudah menyokong BN kerana mahukan pembangunan fizikal ditingkatkan,” katanya.
Sementara itu Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dali Husin berkata BN telah banyak berjasa di kawasan parlimen itu termasuk yang terbaharu membina sebuah klinik di Jalan Rambutan Rendang di sini.
Katanya rakyat kini mahukan perkhidmatan terbaik seperti menangani masalah air yang tidak pernah selesai di Kampung Che Deris dan air Sungai Tok Sadang yang airnya keruh kerana masalah pembalakan. – Bernama
Nik Aziz is getting too old, he might as well step down. Who knows, he may just die as a man losing Kelantan to BN this time round....
ReplyDelete