Pages
▼
Monday, April 1, 2013
#TolakPR - Ramalan ‘Syok Sendiri’ Pimpinan DAP
Penasihat DAP, Lim Kit Siang buat kali keduanya dalam seminggu dua ini menggariskan potensi kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 yang akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.
Dalam kenyataan pertamanya Kit Siang telah menamakan 7 negeri yang akan dikuasai Pakatan Rakyat termasuk tambahan 2 negeri baru iaitu Melaka dan Perlis. Dalam kenyataannya kelmarin beliau telah memperinci dan menamakan 33 kawasan Parlimen yang dijangka boleh dimenangi menjadikan jumlah yang boleh digondol oleh Pakatan Rakyat sebanyak 115. Satu angka yang boleh memberikan majoriti mudah kepada Pakatan.
Manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh pula dengan nada yang hampir sama amat yakin Pakatan Rakyat akan menang dengan majoriti mudah dan Berjaya menguasai 7 negeri dalam PRU ke 13 nanti.
Saya tidak berhajat untuk menyanggah apa yang dilontarkan oleh Kit Siang dan Karpal Singh itu. Sebab saya faham ketika-ketika seperti ini adalah merupakan masa yang paling sesuai untuk melakukan serangan psikologi kepada parti lawan.
Dengan memberikan gambaran sedemikian Kit Siang dan Karpal mengharapkan jentera Pakatan menjadi bertambah garang untuk melakukan kerja-kerja pilihanraya. Sementara dipihak lawan pula Kit Siang dan Karpal mengharapkan telahan mereka itu boleh mengakibatkan demoralisasi dikalangan tenaga kerja Barisan Nasional dalam menghadapi PRU ke 13 ini.
Sejak saya dipecat pada bulan Januari 2012 yang lalu, Alhamdulillah dengan tenaga yang ada dan kesihatan yang mengizinkan saya telah diberi kesempatan menjelajah hampir setiap hari dan saban malam ke seluruh pelusuk dan rantau dari Perlis sampai ke Johor Bharu termasuk Sabah.
Saya telah menemui masyarakat akar umbi daripada berbagai latarbelakang, peringkat umur dan jantina. Dengan bantuan sahabat-sahabat saya juga diberi ruang bertemu pemimpin politik, pegawai tadbir, dan kakitangan di sektor awam dan swasta.
Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas yang saya terima, saya dapati semakin hari semakin jelas wujudnya perkara-perkara berikut :
a. Fenomena tsunami politik 2008 kelihatan tidak wujud lagi. Ini dapat digambarkan melalui maklumbalas yang diperolehi daripada pelbagai lapisan masyarakat mengenai imej Pakatan Pembangkang disetengah-setengah tempat termasuk kubu kuat mereka menerima sambutan begitu mendukacitakan terhadap program-program yang mereka adakan. Ini termasuk sokongan terhadap Anwar Ibrahim di Permatang Pauh sendiri.
b. Terlalu banyak isu-isu besar yang menjadikan masyarakat umum dan pengundi khasnya tidak dapat menerima penjelasan dan justifikasi yang cuba dikemukakan oleh Pakatan Rakyat. Isu Kalimah Allah sebagai contoh benar-benar telah memerangkap Pakatan Rakyat hingga mereka tidak mempunyai jawapan yang munasabah untuk meredakan kemarahan dan bantahan umat Islam dalam hal yang menyentuh persoalan aqidah ini.
c. NGO-NGO buat pertama kalinya dilihat bergerak secara begitu terselaras. Mereka bergerak dengan cara saling memperkuat dan memperkukuh terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu besar yang melibatkan masyarakat Melayu Islam. Isu LGBT, Pluralisme Agama dan Islam Liberal yang dibawa oleh NGO-NGO khasnya telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pemikiran rakyat. Sebahagian besar para pengundi Melayu Islam khususnya merasa takut dan bimbang sekiranya keputusan PRU ke 13 memihak kepada Pakatan Rakyat. Jika ini berlaku, kebimbangan mereka akan menjadi satu realiti.
d. Peranan agamawan-agamawan tradisional dan berinstitusi kelihatan begitu menonjol sejak 2008. Para ulama dilihat begitu bersemangat mengemukakan pendapat dan pandangan keagamaan dengan meletakkan isu-isu agama di dalam perspektif yang betul tanpa dipengaruhi oleh pandangan politik.
e. Kesan kerja keras dan pembaharuan yang di bawa oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri didapati telah meninggalkan kesan yang sukar dinafikan. Sambutan kehadiran berasingan PM dan TPM di negeri Kelantan yang telah diperintah oleh PAS sejak 23 tahun yang lalu misalnya juga boleh diambil kira sebagai satu lonjakan sokongan kepada BN. Penduduk Kelantan sendiri terpaksa mengakui bahawa rakyat Kelantan perlu berubah angin agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
f. Isu moral yang bertali arus melibatkan beberapa pimpinan PKR khasnya telah merelai dan menghilangkan sama sekali keyakinan rakyat terhadap pimpinan PKR yang menjadi parti komponen Pakatan Rakyat.
g. Isu terkini melibatkan keselamatan negara yang berlaku di Lahad Datu, Sabah dikatakan telah benar-benar menjadikan pimpinan Pakatan Rakyat saling menuding jari di antara mereka. Peranan beberapa pimpinan tertinggi PKR dan keceluparan Ahli Parlimen Batu telah menjadi faktor utama mengapa peristiwa Lahad Datu dianggap sebagai faktor yang dijangka akan mendorong para pengundi memberi kemenangan kepada BN.
Pandangan Kit Siang dan Karpal Singh jika diselarikan dengan beberapa obseravasi di atas, saya sukar menerima unjuran politik yang dibuat oleh kedua-dua pimpinan tertinggi DAP itu. Bagi saya telahan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin veteran ini tidak seharusnya diberi perhatian yang serius. Dan bagi saya juga pandangan sedemikian lebih mirip kepada “syok sendiri” dengan dibuai dan dikipas oleh penyokong-penyokong fanatik DAP khasnya dan Pakatan Rakyat amnya.
Saya juga berpendapat cetusan pendapat yang bertimpa-timpa oleh pimpinan tertinggi DAP ini tidak lebih daripada usaha terakhir untuk menutup percanggahan dan pertelagahan antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.
Rakyat mengetahui penentuan kawasan yang akan ditandingi oleh komponen parti Pakatan sehingga ini belum dapat dimuktamadkan dan dikatakan perbincangan mengenai alokasi kerusi sering berlaku dalam suasana tegang. Laporan yang mengatakan pengerusi PKR Johor hilang (missing in action) mencerita dan mungkin dapat mengesahkan segala-galanya.
DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn Tun Dr Ismail, KL
1 APRIL 2013
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.