Pages
▼
Saturday, May 4, 2013
#PRU13 Anwar Mula Tertekan di Permatang Pauh
Setelah 13 hari berkempen, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mazlan Ismail, kini dikatakan semakin tertekan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Pertemuan ibarat 'buku bertemu ruas' pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad ini, dapat dirasai apabila ceramah Anwar di Permatang Pauh tidak lagi 'berapi' seperti sebelumnya, dan tidak ramai lagi pengikut setia di Permatang Pauh yang meminati ceramahnya.
Tinjauan Bernama mendapati lebih ramai anak-anak muda berada di kedai-kedai mamak menonton siaran langsung bola sepak pada waktu malam berbanding mereka yang pergi mendengar ceramah.
Seorang anak muda Permatang Pauh, Ahmad Azwan Bakhtiar, 25, ketika ditemui bersama rakan-rakanya di sebuah restoran nasi kandar di Seberang Jaya, menyifatkan ceramah Anwar hanya seronok didengar tetapi isi kandungan ceramah itu hanya mengulangi perkara yang sama.
"Anwar ini dok cakap benda-benda yang sama, kami pun dah tak larat dengar dah sebab tu kami lepak kedai mamak, tengok bola lagi bagus...tunggu la hari mengundi nanti, kami buat keputusan," katanya.
Sememangnya Anwar telah ketandusan modal dan terpaksa menggunakan isu-isu lapuk seperti mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang lemah, mengutuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selain membuat janji-janji luar biasa.
Dalam siri-siri ceramahnya, Anwar juga dengan bangga memberitahu rakyat bahawa dia bakal menjadi perdana menteri, dan meminta rakyat menyokong untuk memenuhi cita-cita peribadinya itu.
"Hari ini kita menang, esok kita tubuh kerajaan, saya jadi perdana menteri kita turunkan harga barang, harga minyak" itulah antara dialog Anwar di mana sahaja beliau pergi berceramah.
Bagi pencabarnya Mazlan, pengalaman berada dalam PAS selama lebih 20 tahun di Pulau Pinang, dan pernah memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri (2001-2005) serta Ketua Dewan Pemuda PAS negeri (1986-2000), memberikannya 'nilai tambah'.
Bekas naib presiden Telekom Malaysia itu dilihat mampu menyaingi Anwar kerana disokong oleh rakan-rakan lamanya, malah mengetahui sikap Anwar yang sebenar.
Timbalan presiden Jalur Tiga (Jati) yang juga sahabat karib Anwar, Datuk Aidit Ghazali, berkata berdasarkan hasil kajian dan pemerhatian yang dilakukannya, Mazlan boleh mengalahkan Anwar berdasarkan faktor akhlak, akidah dan syariah.
Katanya jika dibandingkan dari segi moral, Mazlan lebih disegani kerana tidak pernah terpalit dengan sebarang skandal, dan beliau juga orang yang dihormati kerana sikap merendah diri walaupun berpelajaran tinggi serta memegang jawatan yang tinggi dalam syarikat korporat.
"Pengundi Permatang Pauh haruslah membuat perbandingan antara Dr Mazlan dengan Anwar... siapakah yang lebih layak menjadi wakil rakyat mereka, ketepikan segala sentimen peribadi dan fikirkanlah masa depan negara," katanya.
Begitu juga dengan pendapat bekas sahabat baik Anwar semasa dalam Abim, Dr Sidek Baba, yang membongkar siapakah Anwar sebenarnya setelah beliau membuat siasatan selama tiga tahun.
Katanya antara faktor beliau meninggalkan Anwar ialah isu moral, dan Anwar tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.