Pages
▼
Friday, May 3, 2013
#PRU13 Seruan Untuk Para Pengundi PRU 13
Esok lebih 13 juta pengundi-pengundi berdaftar akan membuang undi. Mereka akan pergi ke tempat-tempat membuang undi dan diharapkan telah masak dengan segala cerita dan maklumat mengapa seseorang calon mewakili sesebuah parti akan dipilih.
Sudah lebih 50 tahun tradisi berpilihanraya di Malaysia. Jangkamasa yang panjang itu sudah tentu memungkinkan setiap pengundi sudah mengalami proses kematangan menggunakan beberapa sumber. Darjah kematangan berpolitik sangat diperlukan seandainya sistem demokrasi yang dipraktikkan di Negara ini benar-benar diharap dapat mencapai tujuan dan matlamatnya.
Dari pengamatan para penganalisa politik sebahagiannya cenderung mengatakan bahawa kematangan yang dimaksudkan belum sampai ke titik yang diharapkan. Ada di antara para pengundi yang pergi membuang undi kerana mengikut langkah orang lain atau kerana mengikut amalan ketua-ketua keluarga yang sebahagiannya begitu taksub kepada seseorang atau pada satu kumpulan. Terdapat juga sebahagian yang pergi membuang undi kerana didorong oleh sesuatu fahaman yang disalurkan kepada benak pemikiran mereka oleh rakan sebaya, ahli keluarga dan suasana persekitaran yang lain.
Dalam pada itu terdapat juga mereka yang menunaikan tanggungjawab sebagai warga Negara yang faham erti demokrasi lantas menyertai pilihanraya untuk melihat aliran peneraju Negeri atau Negara yang selari dengan kehendak mereka. Akhirnya terdapat juga pengundi yang didorong oleh fahaman politik sempit seperti cuba memenangkan seseorang calon atau parti atas nama ras agama dan sesuatu ideologi yang pada pendapat mereka perlu diberi kemenangan.
Apapun aliran dan corak para pengundi yang akan keluar mengundi besok setiap undi yang diberi akan menentukan hala tuju Negara ini seterusnya. Bahkan lebih daripada itu setiap undi yang diberi akan menjadikan Malaysia terus menjadi negeri yang telah menikmati kemanan dan kesejahteraan, rakyat hidup dengan penuh harmoni sejak lebih 50 tahun yang lalu, atau, Malaysia akan diselubungi oleh awan malapetaka yang akan meliputi seluruh Negara daripada Perlis sampai ke Johor, Sabah sampai ke Sarawak.
Seandainya para pengundi dapat merenungkan implikasi undi yang diberi yang merupakan satu aktiviti yang begitu mudah dengan memakan masa yang begitu singkat namun kesan langsung daripada perbuatan yang sebegitu mudah boleh menyebabkan berlakunya sesuatu yang tidak mudah digambarkan. Sebahagian daripada kita tentu masih ingat peristiwa 13 Mei, 1969. Peristiwa tersebut dikaitkan dengan tindakan melulu diluar batas kewarasan kerana dihambat oleh perasaan yang meluap-luap hingga tidak dapat dikawal untuk meraikan kemenangan sesebuah parti. Lebih dahsyat daripada itu api perkauman dinyalakan, api perbezaan agama dimarakkan dan jurang kehidupan antara kaum dan antara lokaliti dimainkan. Persoalannya ialah adakah peristiwa hitam seperti itu akan berulang dalam PRU ke 13 ini?
Tanda-tanda ke arah itu memang ada. Rakyat diberitahu terdapat kumpulan-kumpulan manusia yang tidak bertanggungjwab memang sudah merancang untuk menimbulkan kekacauan yang sebahagiannya menggunakan modus operandi berlakunya peristiwa 13 Mei. Rakyat juga diberitahu bagaimana sesetengah pihak dengan bantuan asing cuba membawa masuk pengacau-pengacau dan pengganas-pengganas untuk memporakperandakan Negara bertuah ini dengan tindakan ketenteraan yang mengalirkan darah dan menyebabkan sebahagiannya terkorban termasuk yang tidak berdosa menjadi mangsa. Kita juga diberitahu terdapat perancangan halus menggunakan tektik-tektik halus untuk memporakperandakan Negara ini bukan menerusi gerakan tentera secara langsung tetapi lebih menjurus kepada mengimport fahaman yang begitu asing kepada Negara ini. Gerakan Kristianisasi antarabangsa yang bergabung dengan pertubuhan Yahudi telah tanpa segan silu daripada kota Jerusalem, Israel menyeru rakyat Malaysia bangun menukar kerajaan pada 5 Mei 2013. Penukaran peneraju Negara kepada rejim baru mengikut keyakinan mereka akan memudahkan lagi proses mengkristian dan meyahudikan Malaysia. Kita juga diberitahu ejen-ejen mereka ada di Malaysia dan dikatakan sebahagiannya adalah anak watan sendiri yang menjadi talibarut mereka.
PRU ke 13 sangat berbeza dengan PRU-PRU sebelumnya. Kecanggihan teknologi siber mungkin menjadi faktor perbezaan utama yang membezakan PRU ke 13 dengan yang sebelumnya. Bagi saya itu bukan menjadi faktor utama. Faktor utama ialah terdapat seorang manusia yang disokong oleh kumpulan kecil dan bergabung dengan parti-parti politik haluan kiri yang sudah agak lama beroperasi untuk menjejaki Putrajaya dan menduduki kerusi Perdana Menteri. Tanpa perlu disembunyikan Anwar Ibrahim bertekad untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar telah dan sedang menggunakan seluruh tenaga fikir dan tenaga tindak untuk membuat rekayasa yang boleh dijual kepada pengundi-pengundi. Tawaran-tawaran yang dikemukakan begitu mempersonakan. Tawaran-tawaran tersebut berjumlah berbillion-billion ringgit dari segi angka peruntukan kewangan yang diperlukan yang mana sebahagian pemerhati politik mengatakan sekiranya tawaran-tawaran itu hendak dilaksanakan dalam jangka yang singkat Malaysia akan berada di ambang kebankrapan seperti yang berlaku di Greece yang kini menjalar ke Italy dan Sepanyol.
Walaupun sudah kerap diulang-ulang, tonggak pembangunan Negara, Islam, Melayu dan Institusi Raja tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Apa yang dikhuatirkan pengundi-pengundi dalam kelompok post-merdeka dikatakan disebabkan kejahilan fakta-fakta sejarah ditambah pula dengan berbagai-bagai rasionalisasi supaya rakyat Negara ini tidak menjadikan tiga tonggak tersebut sebagai suatu idealisme dan inti perjuangan yang mesti dipertahankan. Kita pernah mendengar anak-anak Melayu dipusat pengajian tinggi mengambil sikap tidak kisah terhadap peruntukan perlembagaan yang mempunyai hak dan keistimewaan terhadap bangsa Melayu sebagai bangsa peribumi. Begitu juga kita biasa mendengar diakhir-akhir ini penganut-penganut Islam yang sama sekali tidak sensitif terhadap ancaman-ancaman yang semakin garang dan semakin getir terhadap Islam yang telah dilembagakan sebagai Agama Persekutuan.
Fenomena yang janggal ini yang sudah menguasai alam pemikiran anak-anak post merdeka terutamanya sudah tentu mereka mengalami proses indoktrinasi yang begitu hebat melalui berbagai cara. Fahaman liberalisme barat dikatakan sebagai daya penarik utama yang bertangungjawab menjadikan anak-anak post-merdeka ini hilang punca, kabur hala tuju dan sesungguhnya sudah tersasar daripada menjadi warga yang bertanggungjawab.
Khusus untuk para pengundi termasuk anak-anak post-merdeka yang akan menyemurnakan tanggungjawab sebagai warga Negara di sebuah Negara demokrasi diharap dapat merenungkan butiran-butiran ini.
a. Apakah sebenarnya matlamat jari-jari kita memangkah calon dan parti dalam konteks melahirkan Negara yang selesa dan seronok dihuni oleh kita sendiri dan yang pentingnya anak cucu cicit yang bakal ditinggalkan?;
b. Apakah pemilihan yang kita buat kita tidak mengkhianati asas-asas pembinaan Negara yang telah dilembagakan seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara dan juga Undang-undang Tubuh Negeri?;
c. Adakah kita pernah memikirkan bahawa membuat pilihan secara ikut-ikutan dan oleh kerana terpengaruh dengan slogan-slogan yang mempesona dan mengasyikkan – tidakkah ini akan menjerat langkah kita bersama untuk mewujudkan Negara Malaysia yang terus diberkati dan sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT?;
d. Adakah kita sanggup merelakan diri masing-masing yang akhirnya Negara ini terbuka luas kepada satu bentuk penjajahan baru iaitu Penjajahan Idealisme Aqidah melalui gerakan nasional dan antarabangsa Kristianisasi dan pengyahudian?;
e. Adakah kita ingin melihat mesyarakat atau keluarga kita hidup bergelumang dengan berbagai bentuk gejala moral yang mengaibkan tanpa kawalan lantaran kerajaan yang ada tidak lagi mementingkan permasalahan moral disebabkan pemimpin Negara sendiri terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah moral?; dan
f. Adakah kita bersedia untuk membenarkan mata kita melihat dan telinga kita mendengar hiruk pikuk dan pertumpahan darah yang mengorbankan nyawa seperti yang berlaku kepada peristiwa 13 Mei 1969 itu?
Saya yakin jawapan yang ada dikepala kita sebagai insan yang rasional yang sentiasa dipandu oleh hikmah dan segala pertimbangan, saya yakin majoriti para pengundi akan memberi jawapan tidak kepada enam soalan di atas. Atas dasar itu izinkan saya membuat seruan – undilah calon dan parti yang telah berjaya menjadikan rakyat berbilang bangsa dan agama di Negara ini hidup aman, damai, sejahtera dan harmoni. Undilah calon dan parti yang sudah merakamkan bentuk pembangunan dan kemajuan insani yang boleh dibangga dan diiktiraf diseluruh dunia untuk terus menerajui Negara tercinta ini. Semoga dijauhkan Allah tangan-tangan kita sendiri yang akan menghancurkan Negara dan kerukunan hidup yang telah kita kecapi dan nikmati selama ini.
Selamat mengundi.
DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur
PERINGATAN SEBELUM MENGUNDI:
ReplyDeleteMELAYU BERPECAH, MELAYU AKAN RUGI. KALAU SUKA BERDEMONSTRASI, NANTI YANG AKAN MATI ADALAH UMAT MELAYU DAN PASUKAN KEAMANAN MELAYU.
PENGANJUR DEMONSTRASI TIDAK AKAN MATI SEBAB MEREKA DUDUK JAUH-JAUH, RAKYAT JUA AKHIRNYA JADI TERBUAI, GHAIRAH, MELAMPAU,CEDERA DAN MATI.
MELAYU HARUS KEMBALI BERSATU DALAM BARISAN YANG KUAT KERANA BILA MELAYU LEMAH DAN BERPECAH, MUSUH AKAN BERSORAK. NEGARA KECIL SINGAPURA SEDANG MENUNGGU AKAN BERTEPUK TANGAN.
INILAH NEGARA ISLAM CONTOH SELURUH DUNIA,OLEH ITU BANGSA MELAYU WAJIB BERSATU ATAS RASA KESYURUKAN NIKMAT DAN RAHMAT ILAHI DIBAWAH BARISAN NASIONAL. KALAU ADA YANG TIDAK KENA DENGAN TINDAK TANDUK BARISAN NASIONAL, PARTI KOMPONENNYA DAN PEMIMPINNYA, KITA WAJAR BETULKAN SELEPAS INI.
UNDI BARISAN NASIONAL ATAS RASA KESYUKURAN..!!!
AMINNNNN.....
Delete