Pages

Tuesday, July 23, 2013

Jentera PAS Mula Tinggalkan Kuala Besut


Hanya sehari lagi berbaki sebelum hari pengundian PRK DUN Kuala Besut, gayanya PAS seperti sudah berputus asa apabila sudah kedengaran beberapa kumpulan jentera pilihan raya PAS khususnya dari daerah lain di Terengganu beransur pulang ke tempat masing-masing.

Turut terbabit beberapa kumpulan kecil dipercayai dari PAS Negeri termasuk Pahang dan Kedah. Setakat ini tiada kenyataan rasmi yang menjelaskan sebab musababnya kecuali satu penafian oleh PAS yang mendakwa jenteranya masih solid.

Menurut beberapa sumber yang rapat dengan PAS Terengganu, kebanyakan yang mengambil langkah pulang awal ini berbuat demikian sejak pagi dan tengahari semalam terutama selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil dalam dua ceramahnya di Kuala Besut pada malamnya (21 Julai) atas jemputan Naib Presiden PAS, Husam Musa.

Barangkali tindakan ini dilakukan kerana tidak mahu bersekongkol dengan sikap hipokrit Anwar yang sejak lebih dua bulan lalu kuat menghentam SPR yang dituduhnya tidak telus atau mungkin juga kerana merasakan PRK DUN Kuala Besut sudah ‘diKelatekan’ oleh geng Husam.

Kehadiran Anwar pada malam itu walau pun sambutannya sedikit baik dari ceramah Presiden PAS, Hadi Awang namun sebahagian besar dari kira-kira 500 dan 600 pendengarnya di dua tempat berasingan itu merupakan penyokong dan jentera PAS yang diimport dari Kelantan.

Dalam ceramah tersebut Hadi Awang langsung tak kelihatan meskipun sepatutnya digandingkan bersama bagi memperlihatkan Presiden PAS itu masih dianggap sebagai tuan rumah kepada pemimpin PAS dan PKR dari luar Terengganu. Tapi ia tidak terjadi demikian.

Atau mungkinkah kegagalan Husam memberi muka kepada Presiden sendiri untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan Anwar menjadi punca sebahagian jentera PAS dari beberapa daerah di Terengganu pulang awal? Sukar dipastikan walau pun ada kedengaran rungutan sebegitu.

Waktu ini kebanyakan markaz dan pos PAS lebih banyak diduduki jentera PAS dari Kelantan, sebab itu tidak sukar untuk melihat banyak kenderaan plet pendaftaran D atau pun sesetengahnya terpapar bendera Kelantan atau logo Royalti berwarna merah di bumper atau badan kenderaan.

Pun begitu, masih ada lagi segelintir sahaja ahli dan penyokong PAS tempatan terutama dari Kawasan Besut serta satu dua kawasan lain yang masih membantu kempen saat akhir barangkali sekadar menunjukkan muka.

Namun demikia, jika keadaan ini berlarutan sampai selesai tempoh berkempen jam 12 malam nanti, maka ia mengulangi peristiwa pemulauan oleh jentera PAS sama seperti yang pernah berlaku di PRK DUN Tenang, Kerdau dan Merlimau sebelum ini.

Yang pastinya, apa yang sedang berlaku di Kuala Besut tika ini membabitkan jentera PAS ia seperti memberi isyarat jelas yang PAS bakal berdepan dengan kekalahan yang mungkin lebih bteruk berbanding PRU-13 baru-baru ini.

Apa pun, ini bukannya satu keadaan di mana BN dan UMNO sudah boleh berpeluk tubuh sambil menggoyang kaki, selagi mana belum tepat jam 12 tengah malam nanti selagi itulah kempen tersusun dari rumah ke rumah tetap perlu diteruskan supaya esoknya ramai-ramai keluar mengundi BN.

Paling penting, pastikan segala kemudahan pengangkutan untuk pengundi disediakan, jangan sesekali diabaikan walau seorang pun pengundi. Selagi mana dapat dikesan kedudukan mereka yang belum keluar mengundi maka usahakanlah hingga hampir pengundi BN menunaikan tanggungjawabnya.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.