Pages
▼
Wednesday, November 6, 2013
GST Yang Perlu Anda Ketahui #KnowGST
Terdahulu, kita disajikan dengan pembentangan belanjawan 2014. Kali ini kita melihat Kerajaan mengambil beberapa langkah yang lama ditangguhkan, seperti penurunan subsidi gula dan pengenalan sistem cukai baru.
Sememangnya bajet ini kurang gula-gulanya. Tidak hairan jika ramai rakyat yang marah mahupun kecewa, lebih-lebih lagi bila diingatkan tentang isu ketirisan yang masih tidak berjaya diselesaikan dengan bermakna.
Namun di akhir ini, saya rasa seperti kita sebagai rakyat tidak mahu lagi berfikir. Kita lebih mahu diapi-apikan daripada menimbang sesuatu isu secara objektif.
Ambil cukai barang dan perkhidmatan atau GST sebagai contoh. GST yang bakal menggantikan sistem cukai tidak lansung lama yakni cukai jualan dan perkhidmatan atau SST membawa macam-macam reaksi daripada pelbagai pihak.
Ramai yang marah, mengandaikan semua harga barang akan meningkat drastik. Marah kerana GST dianggap sebagai cukai tambahan di atas SST sedia ada. Marah kerana andaian kerajaan hanya ingin mengaut duit daripada rakyat sebelum dihabiskan dengan rasuah.
Reaksi ini tidak menghairankan. Tetapi bila kemarahan itu tidak berlandaskan pertimbangan, hanya retorik politik semata-mata, saya rasa kecewa dan bimbang. Seharusnya di negara yang demokrasi ini mengajar kita menjadi lebih matang. Tanganni masalah dengan bijak sana jangan hanya pandai buat demonstrasi dijalankan di luar parlimen, nun sebelum GST diumumkan.
Saya bukan pakar GST, jadi saya hanya inginkan wacana yang adil dan intelek, bukan wacana penuh emosi dan berbaur politik.
Pertamanya, tentang andaian harga barang. Ramai yang tidak menyedari bahawa barang-barang penting seperti beras dan tepung akan dikenakan GST sebanyak 0%. Bukan itu sahaja, perkhidmatan kesihatan pula akan dikecualikan daripada GST. Walaupun benar sesetengah harga barang akan meningkat, namun jangan dilupakan sistem GST yang digunapakai Malaysia telah diubahsuai untuk mengurangkan beban rakyat sebanyak mungkin.
Kedua, GST bukanlah cukai tambahan sebaliknya digunakan untuk menggantikan sistem SST. Perubahan sistem ini bukan untuk membebankan rakyat. Malahan ia dilakukan untuk merombak sistem SST yang membenarkan penggandaan cukai serta tidak menyeluruh.
Ketiga, walaupun ketirisan masih tidak diatasi dengan bermakna, langkah seperti Unit Pengurusan Integrasi di setiap kementerian menunjukkan suara rakyat sedang didengar. Jawatankuasa Khas untuk menyiasat dan mengambil tindakan keatas pesalah laku seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara juga dicadangkan bagi mengurangkan ketirisan ini.
Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki. Namun langkah-langkah ini perlu kita pertimbangkan dalam menerima atau menolak sistem baru GST.
Tidak dinafikan, GST tidak sempurna. Tanpa penguatkuasaan yang mantap, pengelakkan cukai masih akan berterusan. Jika Akta Persaingan 2010 yang dicanangkan kerajaan tidak dikuatkuasakan dengan baik, rakyat akan terbeban dengan peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab menggunakan sistem kartel dan memanipulasi harga barangan.
Inilah yang saya fahami tentang isu ini. Sekali lagi ingin saya tekankan, saya bukan lah pakar GST. Namun inginkan wacana yang lebih berilmiah supaya rakyat seperti saya dapat mendalami isu ini secara objektif.
Tidak elok jika isu cukai yang amat penting ini di dominasi oleh retorik seperti ‘No GST’ semata-mata untuk melawan inisiatif kerajaan Barisan Nasional.
Sedih sekali jika demonstrasi besar-besaran dilakukan atas alasan GST walaupun realitinya hanya sebuah kuda tunggangan sesetengah pihak untuk kepentingan politik.
Belanjawan alternatif Pakatan Rakyat juga menyentuh isu GST. Secara jelas, mereka menentang pelaksanaan GST sekarang dan sebaliknya mencadangkan melalui seksyen 4(a) agar sebuah komiti rundingan dilakukan untuk mengkaji isu ini.
Isu ini telah dikaji untuk beberapa tahun. Kedua, mencadangkan agar sebuah komiti ditubuhkan untuk memberi cadangan adalah jalan mudah yang tidak membawa kita kemana-mana. Yang ketiga, komiti ini akan mengambil beberapa tahun untuk mengeluarkan cadangan mereka, dan jika akhirnya mereka bersetuju dengan GST, kadar permulaan yang lebih tinggi daripada 6% akan terpaksa dikenakan.
Di mana kerajaan perlu mempertingkatkan lagi penerangan tentang GST seperti yang dilakukan melalui laman web Kastam Diraja Malaysia, pihak pembangkang juga perlu objektif dalam memberi alternatif supaya pengundi-pengundi dapat membuat keputusan yang bijak berlandaskan fakta.
Jangan dipolitikkan semua perkara, demi populariti diri sendiri.
Anda boleh cintai GST. Anda boleh benci GST. Tapi tak kenal maka tak cinta, belum kenal jangan dibenci, bukan?
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.