Pages

Tuesday, September 28, 2021

Lupa 'check-out' MySejahtera? KKM beri keterangan... Jangan risau, anda tak bermalam di restoran

 

Sejak fungsi "check-out" diperkenalkan pada aplikasi MySejahtera, ramai pengguna mengadu kekurangan ciri peringatan (reminder) menyebabkan mereka sering terlupa menggunakan fungsi itu meskipun telah lama mendaftar keluar dan meninggalkan sesuatu lokasi.


Ini menyebabkan ada pengguna Twitter mencipta akaun parodi MySejahtera untuk mengingatkan pengguna agar mendaftar keluar (check-out) setelah mereka meninggalkan sesuatu tempat.


Malah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga secara berseloroh mengatakan dia juga pernah 'tidur' dalam pasar raya kerana lupa mendaftar keluar pada aplikasi berkenaan.




Pun begitu, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menjelaskan kepada orang ramai yang terlupa untuk mendaftar keluar bahawa mereka tidak akan dianggap bermalam di lokasi di mana mereka kali terakhir mendaftar masuk (check-in).


Ketua Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Dr Mahesh Appannan berkata sebelum fungsi "check out" diperkenalkan, data "check-in" berturutan digunakan untuk meletakkan "upper bound" pada tempoh masa seseorang berada di sesuatu tempat.






"Contohnya, jika "check-in" di restoran X pada 7 malam, dan restoran Y pada 8 malam, anda berada di X untuk paling lama 1 jam.


"Sekiranya "check-in" berturutan bersifat "outlier" (contoh anda balik rumah dan hanya keluar esok), sistem mengesan itu sebagai "outlier", dan menggunakan tempoh purata (berdasarkan lokasi, waktu dan demografi).


"Purata ini amat stabil kerana dihasilkan daripada berbilion "check-in"," katanya.


Penjelasan itu disiarkan di akaun Twitternya pagi ini dan dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan melalui media sosial rasmi kementerian itu.


Menurut Mahesh, sama seperti dulu, sistem dapat mengesan sama ada pengguna berkemungkinan besar lupa "check out", oleh itu tempoh purata akan digunakan.


"Satu lagi contoh, pengguna check-in di restoran X pada 7pm, dan "check-out" pada 8am esok.


"Sistem akan melihat - secara purata, berapa lama pengguna akan berada di lokasi ini sekiranya "check-in" pada waktu 7pm.


"Purata itu dapat digunakan untuk mengganti "check-out" yang misleading (mengelirukan).


"Oleh itu, kami amat menggalakkan pengguna untuk "check out". Ia membantu kami menolong anda. Namun, jika anda lupa, jangan risau - kami tidak akan menganggap anda menghabiskan sepanjang malam di tempat kerja, atau di restoran, ”katanya. - MK

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.