Pages

Thursday, December 9, 2021

Lima kementerian paling cemerlang


Sempena 100 hari petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian-kementerian, dua badan penyelidik bebas iaitu Ilham Centre dan O2 Research mengupas dan menilai prestasi lebih 20 portfolio kabinet Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Berikut ialah lima kementerian dengan rekod paling cemerlang hasil penilaian dua badan penyelidik itu.


Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara kementerian yang diduga dengan pelbagai rintangan angkara Covid-19, namun dalam 100 hari ini KKM bersama nakhoda baharu menunjukkan prestasi luar biasa.


Ini termasuklah peraturan ketat tanpa kenal parti baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), DAP atau PKR semua perlu patuh SOP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Hasilnya pasca PRN Melaka, tiada lonjakan ketara kes Covid-19 seperti mana PRN Sabah.


Empat kementerian lain yang turut menunjukkan prestasi cemerlang ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.





KEMENTERIAN KESIHATAN


Menteri: Khairy Jamaluddin Abu Bakar (UMNO-BN)


Timbalan Menteri I: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bersatu-PN)


Timbalan Menteri II: Datuk Aaron Ago Dagang (PBS-GPS)


ILHAM CENTRE: Ulasan kami ringkas dan mudah. Kementerian ini cemerlang dan bergaya.


Selain berkeupayaan mengendalikan proses vaksinasi rakyat dengan pantas dan berkesan, kehadiran Khairy dalam kementerian ini seolah-olah memberi rahmat kepada sistem kesihatan negara.


Pernah suatu ketika sistem kesihatan awam hampir lumpuh disebabkan kadar jangkitan Covid-19 yang meningkat melebihi 20,000 kes sehari, Khairy atau lebih dikenali KJ ternyata berjaya meredakan kegusaran petugas barisan hadapan di hospital.


Beliau berjaya menyegerakan bantuan peralatan perubatan, alat bantuan pernafasan dan katil pesakit yang disalurkan segera kepada hospital-hospital yang kritikal mendepani lambakan pesakit Covid-19.


Selain itu, kejayaan kementerian memudah cara urusan pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 juga wajar diberikan pujian.Paling penting, kaedah penyampaian maklumat KJ yang mantap dan berinformasi, sama ada melalui sidang media mahu pun pada sidang Parlimen, berjaya meredakan segala kegusaran rakyat.


Beliau juga dilihat menampilkan imej segar dan kurang kontroversi berbanding menteri sebelumnya.

RATING: 9/10


O2 RESEARCH: Tidak perlu ulas lanjut, KJ sememangnya cemerlang dengan komitmen beliau diterjemahkan sejak memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).


Lebih membanggakan, kejayaan beliau bersama kementerian meningkatkan kadar vaksinasi rakyat Malaysia kepada tahap optimum sehingga mendapat pengiktirafan media antarabangsa wajar diberi pujian melambung.


Kesannya lebih jelas apabila kes jangkitan Covid-19 kini merudum dengan hanya mencatatkan sekitar 6,000 kes sehari, berbanding angka lebih 20,000 kes sewaktu KJ mula-mula mengambil alih jawatan menteri.


Selain itu, keputusan tegas KJ dan kementerian menetapkan SOP PRN Melaka yang begitu ketat juga memastikan episod penularan gelombang ketiga Covid-19 sewaktu PRN Sabah tahun lalu tidak berulang di Melaka.


RATING: 9/10


Seterusnya…


No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.