Oleh: Badrul Hisham Abdul Aziz
PAS mengekalkan kerusi dewan undangan negeri Manek Urai dalam pilihanraya kecil semalam dengan angka unik iaitu 65 undi sahaja. Dalam pilihanraya umum 2008 parti itu cukup bergaya dengan majoriti tinggi iaitu 1,352 undi. Dua jumlah yang ibarat bumi dengan langit tetapi ada satu persamaannya iaitu 6+5 menjadi 11 dan 1+3+5+2 juga berjumlah 11 - nombor pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jumlah undi yang diraih oleh calon Barisan Nasional yang diwakili UMNO, Tuan Aziz Tuan Mat 5,283 juga mengandungi angka 11 jika dua angka terakhir 8 dan 3 dicampurkan. Lapan puluh tujuh peratus daripada 12,293 pengundi berdaftar atau 10,0631 orang juga membawa angka 11 apabila 1+0+6+3+1 dijumlahkan.
Bagaimanapun, bukan nombor atau angka yang menjadi pertaruhan dan perkiraan dalam pilihanraya kecil Manek Urai itu. Apa yang menjadi perbualan hangat ialah mengenai keputusan yang agak mengejut dan memeranjatkan. Umum menjangkakan PAS dengan mudahnya akan mengekalkan kerusi itu seperti yang diduduki wakilnya Allahyarham Ismail Yaakob.
Lama sungguh PAS bertapak di Manek Urai sehinggakan UMNO terpaksa berhempas pulas bekerja siang dan malam untuk menambat hati para pengundi di situ. Peningkatan jumlah yang menunaikan tanggungjawab masing-masing semalam menjadi bukti kepada hakikat itu. Suruhanjaya Plihanraya (SPR) sendiri hanya menjangkakan 85% akan keluar mengundi tetapi hakikatnya peratusan meningkat 87%.
Di sebalik kemenangan PAS mengekalkan kerusi itu, kejayaan UMNO juga mulai terpancar.Pertama UMNO dapat mengurangkan majoriti PAS hingga menjadi sangat tipis hinggakan Datuk Husam Musa yang diminta ulasannya memberitahu pihaknya pada mulanya menjangka PAS akan tewas.
UMNO dan Barisan Nasional juga berjaya mengajak lebih banyak pengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing khususnya di kalangan pengundi muda yang selama ini merasa selesa dengan keadaan dan berpendirian ‘apa nak jadi, jadilah’ atau sikap ‘tidak apa‘.
Orang lama, orang berpandangan agama dan penduduk kampung yang kurang pendedahan sudah agak pasti berada di belakang Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang dilihat sebagai orang yang serba tahu, serba betul dan serba-serbi hebat. Jadi pilihan yang ada ialah fokus kepada pengundi muda dan pengundi luar.
Fokus ini menjadi dan UMNO berjaya menambat hati mereka.!
Secara simbolik atau terrsembunyinya, pendekatan UMNO mengawal emosi, tidak mencabar walaupun dicabar turut memenangi hati rakyat dan pengundi. Pilihanraya kecil ini membuktikan berjalannya proses perpaduan ummah di mana UMNO tidak dilihat telah mencela, memburuk-burukkan calon atau tokoh-tokoh lawan walaupun sebaliknya dilakukan terhadap mereka.
Hanya ada satu kes jenayah yang berlaku iaitu membaling batu yang mencederakan dua orang anggota Puteri UMNO. Sepanjang tempoh berkempen atau sebelum daripadanya, proses perpaduan atau berkempen secara ‘adik-beradik’ telah berjaya dipaparkan di Manek Urai.
Proses perpaduan yang diimpikan oleh Presiden PAS Datuk HajI Hadi Awang dan disokong oleh timbalannya, Nasharuddin Mat Isa tetapi disanggah keras oleh Nik Aziz nampak mula berputik di situ. Jentera atau pekerja BN boleh menziarahi bilik-bilik gerakan lawan dan begitu juga sebaliknya.
Walaupun terdapat segelintir ahli dan penyokong PAS yang menyorak dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya dan diselang-seli dengan takbir, sepertimana yang terjadi terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia hanyalah kes terpencil dan bukannya budaya seperti mana yang sering berlaku dalam pilihanraya-pilihanraya lain.
Pendekatan UMNO yang tidak menyorak, mencela atau menghina pihak lawan, sebaliknya merapati rakyat dengan penerangan mesra, mendalami masalah dan mencari penyelesaian serta bersahaja adalah satu lagi kejayaan sehingga berjaya menambat hati rakyat, khususnya warga-emas yang telah lama tidak mendapat perhatian dan pembelaan.
Keseluruhan pemimpin UMNO menyatakan rasa puas hati walaupun tidak memenangi kerusi Manek Urai kerana mereka dapat melihat keputusan pilihanraya kecil itu telah membawa petanda yang bakal membawa kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat keputusan itu sebagai petanda angin perubahan yang merupakan satu isyarat jelas yang menunjukkan rakyat mahukan pembaharuan. Ini tentulah hasil perubahan dan kejayaan segera yang dicapai melalui pentadbiran 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan semua pemimpin turun padang dan menjiwai rakyat.
Muhyiddin serta keseluruhan bala jenteranya di Manek Urai termasuk Datuk Mustapha Mohamad selaku pengarah pilihanraya telah berjaya mengenengah dan menyebar luaskan konsep itu sehingga pengundi PAS berpihak kepada UMNO.
Seperti kata Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan;” Kemenangan tipis PAS membuktikan sokongan penyokong pembangkang dan rakyat telah mula kembali kepada BN dan rakyat mula menerima pendekatan yang ditetapkan oleh BN.”
Apakah makna ‘kejayaan’ ini…? Inilah persoalan yang lebih berat untuk diberi perhatian dan jawapan. Seperti lazimnya, beberapa pilihanraya kecil akan berlaku sebelum menjelangnya pilihanraya umum. Pilihanraya kecil masa depan akan hanya membawa makna dan pengertian sebenarnya jika BN menempa kejayaan.
Bagaimanakah mahu pastikan kejayaan itu..? Tentulah bermula dengan kerja keras di Manek Urai dijadikan sebagai titik permulaan. Prestasi baik di Manek Urai harus diterus dan diterapkan di seluruh negara tanpa menunggu wujudnya sesuatu pilihanraya kecil..
Turun padang dan mesra rakyat wajar dijadikan budaya kerja yang berterusan bukan dilakukan secara bermusim seperti apabila ada pilihanraya ataupun pemilihan parti di peringkat bahagian. Mungkin UMNO dan BN wajar belajar daripada PAS iaitu berceramah dan mendekati rakyat sepanjang masa.
Di negeri-negeri Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, orang Melayu khususnya ahli UMNO harus menukar sikap bahawa mereka sebenarnya adalah pembangkang di negeri masing-masing. Mereka tidak boleh lagi merasa selesa dengan bergantung kepada kerajaan persekutuan semata-mata. Mereka harus membuang sikap merasa selesa dan selamat.
Dalam pilihanraya 2008 dahulu tidak ada sesiapa yang menduga Selangor akan hanyut ke tangan pembangkang, tetapi itulah hakikat yang berlaku. Ketika itu, semua orang merasa selesa dan selamat sehinggalah pakatan pembangkang mengucapkan selamat tinggal kepada mereka..
Dengan menyematkan perasaan sebagai pembangkang di bumi tanah Melayu sendiri, diharapkan akan tercetuslah perasaan untuk berjuang dan mempertahankan bumi bertuah ini dan jambatan perjuangan itu adalah jambatan UMNO sendiri.
Di samping itu, UMNO mungkin perlu terus menghulurkan tangan persahabatqan kepada PAS dan membuang sikap memusuhi dan membenci parti itu kerana perpaduan ummah serta kebaikan bersama harus dicuba dan diutamakan..
Biarlah pahit untuk UMNO menelannya dan amat getir untuk PAS melalui hakikat itu, atas nama kesinambungan agama, bangsa dan tanahair semangat 1 Malaysia wajib diterapkan iaitu rakyat diutamakan, pencapaian diutamakan. Semoga manek akan terurai menjadi kerlipan intan waktu siang dan sinaran bintang pada waktu malam.
Agenda Daily
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.