Cerita politik tanah air panas dan hangat macam mana pun, tidak ubah macam ribut dalam cawan sahaja.
Begitu juga kalau ada pihak sangka ‘gaduh’ antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali, sejak sebulan lalu akan berterusan, ianya meleset sama sekali
Sebelum ini Khairy pernah melabelkan Ibrahim Gedebe Politik dan Jaguh Kampung manakala Ibrahim pula membidaskan kelemahan pimpinan Khairy sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Namun, pada Ahad mereka saling bertepuk tampar ketika berkongsi pentas dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4 di sebuah hotel di Jalan Ampang.
Malah, Ibrahim yang juga ahli parlimen Bebas Pasir Mas menganggap Khairy sebagai anaknya dan ahli parlimen Rembau itu pula berulang kali memanggil Ibrahim, ‘ayahanda’ pada majlis itu.
Dengan nada berjenaka, Ibrahim , beliau menganggap Khairy sebagainya anaknya disebabkan Ketua Pemuda itu kini baru berusia 34 tahun, namun beliau sudahpun mencecah usia 59 tahun.
Katanya lagi, beliau juga telah dua kali ditahan bawah ISA malah merupakan seorang pemimpin pelajar yang lantang memperjuangkan nasib rakyat ketika Khairy belum lahir lagi.
Walaupun ada usik mengusik termasuk cerita kononnya Khairy ada hubungan dengan pelakon Maya Karin yang dibangkitkan Ibrahim, ianya tidak lebih bagi menjelaskan sesuatu isu.
Sebelum ini, Ibrahim menjawab tuduhan kononnya beliau seorang yang racist melalui kenyataannya serta tindak tanduk PERKASA memperjuangkan sesuatu isu.
Menurut Ibrahim, sejak dua tahun lalu tidak ada laporan di Bukit Aman mengaitkannya sebagai seorang yang bersifat perkauman.
Menggambarkannya sebagai fakta, sebab katanya beliau tidak percaya Khairy ada hubungan dengan Maya Karin.
“Semuanya mesti ada fakta. Tanpanya kita tidak boleh menyalahkan atau tuduh orang lain,” katanya sekaligus turut menyindir ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad yang turut jadi tetamu membincangkan topik Politik Ideologi dan Bangsa itu.
Ini kerana Khalid menyalahkan peraturan kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya tujuh parti mesti bergabung bagi membentuk pakatan sama seperti Barisan Nasional (BN) menyebabkan Pakatan Rakyat antara PKR, DAP dan PAS tidak boleh didaftarkan.
Ibrahim berkata, banyak lagi parti kecil lain yang boleh diterima pakatan rakyat atau pihak berkenaan boleh menubuhkan beberapa parti lain bagi mencukupkan bilangan untuk mendaftarkannya.
Bagaimanapun pada majlis yang dihadiri lebih 300 pemimpin pelajar termasuk dari luar negara itu lebih banyak menyentuh soal perkauman apabila tiga soalan yang dikemukakan wakil pelajar menjurus kepada peranan PERKASA.
Ini menyebabkan Ibrahim terpaksa menjelaskan mengenai kekeliruan banyak pihak bahawa peranan pertubuhannnya itu adalah bagi mempertahankan perlembagaan yang mula dipersoalkan pihak tertentu.
Ibrahim menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang racist sebaliknya mementingkan keselamatan dan keharmonian negara serta tidak mahu ada pihak cuba menganggu gugat keamanan tersebut.
Khairy dalam penjelasannya di majlis tersebut berkata, negara ini tidak boleh ditadbir satu kaum sahaja kerana bangsa lain akan memikirkan apa yang bangsa berkenaan fikir.
Katanya, UMNO tiada apa-apa kaitan dengan PERKASA sebaliknya pertubuhan itu memperjuangkan apa yang sudah menjadi hak orang Melayu seperti dalam perlembagaan.
Khalid pula menyatakan harapan pakatan rakyat untuk mentadbir negara kerana beranggapan rakyat bersedia menerima perubahan atas alasan keadilan untuk semua.
Beliau turut menyentuh kononnya kerajaan BN sekarang masih gagal menyakinkan rakyat terutama dalam soal pencegahan rasuah dan turut membidas Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).
Apapun majlis hampir dua jam dalam suasana santai itu berjalan lancar dengan ketiga-tiga wakil rakyat itu saling mempertahankan pendirian parti dan pertubuhan masing-masing.
Program dialog tersebut merupakan antara tarikan utama dalam persidangan selama dua hari, berakhir hari ini, anjuran Majlis Pelajar United Kingdom dan Eire (UKEC).
Anda juga dijemput melontarkan pandangan dalam apa pun jua isu di FB Rasmi Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau, Ketua Pemuda UMNO Malaysia & Pengerusi Pemuda Barisan Nasional.
Saya fikir cerita KJ dgn Ibrahim Ali tak lebih dari hanya nota kaki dalam arus politik perdana...
ReplyDeleteMudahnya menghukum Ibrahim sebagi racist kalau dia pertahankan bangsanya... biaq lantak lah apa orang nak kata...