Pages

Sunday, February 17, 2013

Najib Buka Cerita Tentang 'Tepuk Tangan' Di Majlis Tahun Baru Cina


Jumlah yang hadir melimpah ruah. Ikut ceritanya pihak penganjur sendiri terkejut melihat kehadiran yang melebihi jangkaan awal mereka.

Sekitar 60,000 orang berpusu-pusu ke Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Malaysia di Taman Puchong Utama, Selangor pada Jumaat yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak.

Kehadiran sebegitu ramai orang setelah baru ini jumlah hampir sama bersesak di majlis Tahun baru Cina anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang Isnin lalu telah mencetus 'angin baru' menjelang pilihanraya umum ke 13 tidak lama lagi.

Paling menarik Najib dalam ucapannya yang ringkas tetapi padat secara terbuka mengingatkan masyarakat Cina negara ini menyedari hakikat bahawa kejayaan mereka khususnya dalam perniagaan adalah hasil kongsi kuasa dan dasar-dasar kerajaan yang tepat selama ini.

Malah beliau berkias mengenai mengenai bertepuk tangan yang kena guna dua tangan baru boleh bunyi.

“Kita tahu kaum Cina memang rajin bekerja. Mereka dikenali sebagai masyarakat yang mempunyai keusahawanan yang cekap dan pintar. Sebab itulah mereka berjaya. Kita ucapkan tahniah. Tetapi kejayaan masyarakat Cina adalah juga kerana kerajaan sejak Merdeka telah mewujudkan keadaan di Malaysia ini yang membolehkan mereka mencari rezeki yang baik dan mencapai kejayaan secara berterusan.

“Kalau kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menjaga keharmonian, tidak memberi peluang secara terbuka dan tidak mengamalkan dasar-dasar tepat, meskipun kita pintar, rajin dan mempunyai kebolehan untuk berniaga, kita tak mungkin berjaya sepertimana kalau bertepuk tangan kena guna dua tangan baru boleh bunyi,” katanya.

Serentak dengan itu Najib mengajak mereka menerapkan 'semangat kongsi' bukan setakat semasa sambutan perayaan sahaja.

Baginya ia sesuatu yang unik di Malaysia.

“Kita tidak boleh memilih jalan sendiri-sendiri. Kita tidak boleh mengamalkan sikap yang keterlaluan atau ekstrim. Tetapi kalau kita sanggup hidup berkongsi kuasa, kekayaan, cabaran, permasalahan, duduk semeja dan berkongsi buah fikiran, tenaga,dan berkongsi segala-galanya serta bermuafakat, Malaysia pasti menjadi negara berjaya,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata amalan perkongsian perlu dikekalkan kerana ia merupakan konsep terbaik untuk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Beliau berkata konsep tersebut sememangnya telah lama dipraktikkan iaitu menerusi perkongsian kuasa sejak merdeka serta perkongsian kekayaan sehingga membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman makmur.

"Kita juga kongsi raya...kaum lain datang untuk sama-sama sambut Tahun Baharu Cina. Kalau nak capai potensi yang maksimum, maka konsep (berkongsi) yang unik pada Malaysia ini mesti dikekalkan," katanya.

Beliau berkata segala yang dilakukan oleh kerajaan sejak empat tahun lepas termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah bukti perancangan dan fokus yang sistematik dapat mencapai kemajuan.

"Kemajuan tidak boleh dicapai sekelip mata, tidak datang bergolek...Ia bermula dengan perancangan dan peta jalan yang cukup jelas untuk tentukan hala tuju dan masa depan negara," katanya.

Najib juga berkata pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan kejayaan yang besar dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Antara tetamu kenamaan lain yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.- Agendadaily

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.