Pages

Wednesday, July 17, 2013

Kempen Berhemah, Tidak Agresif Kekuatan BN - Khairy


BESUT: Barisan Nasional (BN) yakin strategi kempen secara berhemah dan tidak agresif ketika umat Islam menunaikan ibadat puasa merupakan pendekatan terbaik dalam memenangi hati pengundi.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata pendekatan bersemuka dengan pengundi serta mengunjungi rumah ke rumah merupakan kekuatan parti itu.

"Corak kempen sebegini merupakan kekuatan kita terutamanya dalam usaha mendekati rakyat dengan lebih dekat.

"Pendekatan secara sentuhan peribadi di siang hari pada bulan Ramadan seperti ini dilihat diterima dan disenangi rakyat terutamanya pengundi muda," katanya pada sidang media selepas bertemu pengundi di Kampung Seberang Barat di sini, Rabu.

Selain itu Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno yakin untuk mendapatkan undi daripada generasi muda namun menolak tanggapan bahawa parti terlalu yakin untuk menang.

"Jika kita terlalu yakin, tidak ada siapa pun pemimpin BN akan datang ke Kuala Besut dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak akan melawat tempat ini beberapa kali.

"Bagaimanapun kita tidak seharusnya mengambil mudah kerana kerusi Kuala Besut tidak akan menjadi milik BN secara automatik, kita akan berusaha keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN," katanya.

Selain itu Khairy turut menyeru pengundi muda supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi walaupun hari pengundian pada hari bekerja.

"Saya harap pengundi muda akan memberi undi kepada BN," katanya.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.