PORT DICKSON: Sebanyak 10 rumah di Taman Bagan Kurnia, Chuah, di sini, rosak akibat kejadian puting beliung yang melanda kawasan perumahan itu, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu turut mengakibatkan seorang wanita warga emas, Siti Mariam Abu, 86, cedera di kepala selepas siling rumahnya terjatuh.
Adilla Yunus, 44, berkata ketika kejadian dia bersama suami dan anaknya berada di luar, tetapi ibu mentuanya, Siti Mariam yang tinggal berseorangan mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena atap rumah yang jatuh.
"Sejurus selepas kejadian, saya dan suami pulang segera dan mendapati kepala ibu mentua cedera dan kami terus menghantarnya ke klinik desa berhampiran untuk menerima rawatan.
"Ini adalah kejadian kali pertama (puting beliung) di kawasan ini dan kami berharap pihak kerajaan negeri dapat membantu membaik pulih bumbung rumah yang rosak bagi meringankan beban penduduk," katanya.
Seorang lagi mangsa, Shuhada Harris, 29, berkata ketika kejadian dia berada di dalam bilik bersama anak perempuannya berusia dua tahun.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi angin kuat sehingga menyebabkan bumbung rumah didiami tercabut dan siling jatuh di ruang tamu.
"Kejadian berlaku begitu pantas sekitar jam 10.30 pagi tadi dan saya terus menghubungi suami, Ahmad Zuhaili Zainal Basri yang berada di tempat kerja supaya pulang segera ke rumah kerana ketakutan," katanya ketika ditemui di rumah yang disewanya itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Michael Yek Diew Ching, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah Port Dickson akan membantu dalam tempoh terdekat bagi meringankan beban mangsa.
"Sebanyak 10 unit rumah dilaporkan rosak di bahagian bumbung, siling runtuh dan seorang warga emas berusia 86 tahun tercedera.
"Saya akan memantau perkembangan dan akan membantu mangsa kejadian puting beliung ini secepat mungkin," katanya.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.