Pages

Friday, October 15, 2021

PDRM belum dapat kebenaran untuk ekstradisi Nur Sajat


Pihak berkuasa Thailand masih belum memberi kebenaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekstradisi usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat untuk dibawa pulang ke Malaysia. 


Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, mereka masih belum menerima sebarang jawapan dari pihak berkuasa Thailand terhadap permohonan sebelum ini untuk membawa pulang Sajat.


“Tiada perkembangan lanjut mengenai kes itu. Kita masih tunggu jawapan daripada pihak berkuasa Thailand membabitkan proses ekstradisi usahawan berkenaan,” katanya kepada media.


Jelasnya, sebarang proses untuk membawa pulang Sajat bergantung kepada pihak berkuasa Thailand.


“Kita terikat dengan undang-undang negara berkenaan untuk membawa pulang usahawan itu. Maka, kita perlu tunggu perkembangan daripada mereka,” katanya.


Media sebelum ini melaporkan, Sajat ditahan Imigresen Thailand pada 8 September lalu kira-kira jam 6 petang kerana memiliki pasport tidak sah.


Usahawan itu kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.


Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.


Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Sajat.


Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.


Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.


Untuk rekod, Sajat dikatakan bersembunyi di dalam kontena kereta api barang ketika memasuki Thailand dari Padang Besar, Perlis, sebelum bertolak ke Bangkok.


Menurut sumber, Sajat ditahan bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita.


Semakan pihak Imigresen Thailand mengesahkan Sajat adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.