DAP menolak pengkhianat yang juga bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pihaknya akan membawa keputusan itu kepada mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan berhubung PRN Melaka.
“Ada yang tanya dan saya dengan tegas menyatakan DAP tolak sama sekali bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon dalam PRN negeri akan datang.
“Saya tidak mahu sebut (alasan), tidak perlu pergi pada asal usulnya semua pun tahu, DAP tetap tidak terima dia (Norhizam) sebagai calon dalam PRN negeri,” katanya kepada media hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP kekal menyokong Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri.
Norhizam selepas mengumukan penarikan balik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata dirinya semakin bermaruah akibat tindakan tersebut.
Bekas Exco kerajaan negeri Melaka itu sebelum ini mencanangkan dirinya sebagai ‘barua’ DAP.
Norhizam sebelum ini menang di kerusi DUN Pengkalan Batu atas tiket DAP lantas mengumumkan menjadi calon bebas dan memberikan sokongan kepada UMNO untuk membentuk gabungan kerajaan baru di negeri itu pada Mac tahun lalu.
Norhizam juga adalah antara empat ADUN, termasuk dua daripada UMNO dan seorang Bersatu, yang menarik sokongan kepada pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menyebabkan Kerajaan UMNO Melaka tumbang pada 4 Oktober lalu.
Susulan itu, Sulaiman mengemukakan usul pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang kemudian dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November ini. Hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.