Kerajaan tidak bermaksud sengaja menyukarkan kehidupan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19, tetapi perkara itu berpunca daripada sikap mereka sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairi Jamaluddin membawa maksud kekangan yang dihadapi oleh mereka yang belum menerima vaksin.
Sehingga kini tiada paksaan untuk menerima vaksin dan kerajaan belum mewajibkan vaksin ke atas semua penduduk negara ini, katanya lagi.
“Mereka yang tidak mengambil vaksin yang menyukarkan diri, bukan kerajaan yang sengaja menyusahkan...sebab itu saya menyeru mereka yang masih belum menerima vaksin untuk berbuat demikian, supaya semua kemudahan yang diberikan turut boleh dinikmati.
“Tambahan pula, sebagai manusia kita kena bertanggungjawab membantu melindungi orang lain, dengan mengurangkan risiko jangkitan dan mengurangkan keseriusan kesan penyakit jika dijangkiti, dengan mengambil vaksin Covid-19,” katanya.
Kelebihan yang tidak akan dinikmati oleh goloongan antivaksin adalah seperti merentas negeri, menunaikan umrah dan menyertai sektor yang dibenarkan.
“Contoh balik kampung, mereka yang tidak vaksin tidak boleh merentas negeri dan yang dah ada vaksin berduyun-duyun nak balik jumpa keluarga.
“Tentu lebih susah buat mereka yang tak dapat vaksin, itu yang dimaksudkan oleh KJ (Khairy Jamaluddin), bukan kerajaan yang menyusahkan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pemakaian pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Bera di Dewan Sri Kempas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, tengahari tadi.
Semalam, Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.
Beliau berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.
Berita terdahulu : Khairy tegas dalam tangani gologan antivaksin
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.