Saturday, October 16, 2021

Khairy tegas dalam tangani gologan antivaksin!


Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima vaksin tetapi mereka yang menolak untuk divaksinasi akan berdepan dengan kehidupan yang sukar.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan anti-vaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.


“Kita mungkin tidak akan melaksanakan satu undang-undang Persekutuan iaitu mewajibkan di peringkat negara tetapi saya menggalakkan adalah undang-undang sektoral.


“Mungkin berbunyi sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin.


“Ini adalah kerana anda sendiri memilih untuk tidak menerima vaksin melainkan anda tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan dan dikecualikan juga dalam sistem MySejahtera tetapi jika sebaliknya, maka memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya lapor Utusan Malaysia hari ini.


Walaupun kerajaan belum mewajibkan vaksinasi Covid-19 secara menyeluruh, tetapi ia telah diwajibkan oleh sektor-sektor tertentu.


Ini termasuklah kakitangan perkhidmatan awam di mana mereka yang menolak tanpa sebarang faktor perubatan boleh dikenakan tindakan tatatertib.


Bagaimanapun, mereka yang tidak mendapatkan vaksin Covid-19 atas alasan perubatan yang sah, akan dikeluarkan sijil pengecualian.


Pada masa sama, Khairy menegaskan KKM kemungkinan akan mewajibkan mereka yang menolak atau melengahkan penerimaan vaksin untuk menjalani ujian calit Covid-19 secara mingguan.


Katanya, kos tersebut tidak akan ditanggung oleh kerajaan.




Khairy berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarction Course (NAMIC) 2021 di Petaling Jaya, Selangor hari ini.


Tambahnya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam juga telah mengeluarkan pekeliling pada November, supaya penjawat awam diwajibkan vaksin.


“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan pekeliling iaitu pada November nanti adalah wajib untuk penjawat awam divaksinasi. Kita juga menggalakkan perkara ini untuk syarikat swasta,” katanya.

No comments: