Saturday, February 21, 2009

Hampir 10,000 Pemuda BN Berikrar Sumpah Taat Setia Pertahan Institusi Raja



Kuala Lumpur – Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin bersama hampir 10,000 ahli Pemuda komponen Barisan Nasional (BN) malam tadi menyatakan ikrar sokongan taat setia kepada instutusi raja dan seterusnya mempertahankan kedaulatan institusi berkenaan dari terus diperlekehkan pihak-pihak tertentu.


Selain bacaan ikrar yang diketuai Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, perhimpunan Menjunjung Setia "Daulat Tuanku!" Di Dewan Tun Razak 1, PWTC Di Sini, Khamis Malam turut menyaksikan penyerahan secara simbolik “Sumpah Menjunjung Setia” seluruh komponen Pemuda BN kepada Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir untuk disampaikan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.


Antara isi kandungan ikrar itu ialah Pemuda BN berjanji dan bersumpah akan menentang sebarang cubaan dan tindakan berbentuk merendah, mencemuh, mempertikai dan menghina institusi Raja oleh mana-mana pihak sama ada menerusi perbuatan atau ucapan.


Ikrar itu turut menyeru seluruh Pemuda untuk memupuk keharmonian dan perpaduan di kalangan kaum yang dinikmati selama ini serta bersama-sama mempertahankan negara dari segala cabaran dalam usaha menjadi negara maju.


Selain bacaan-bacaan sajak, perhimpunan tersebut juga menyaksikan ucapan wakil-wakil Pemuda komponen BN dimulai dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Bumiputera (PBB), Sarawak, MIC dan MCA serta Menteri Besar Perak sendiri, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.


Pada ucapan kemuncak, Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Pemuda perlu mempertahankan Perlembagaan dan mematuhi Rukun Negara kerana ia terbukti berjaua menyatupadukan rakyat di negara ini.


Rakyat katanya perlu sedar kemerdekaan negara turut disokong oleh Raja-raja Melayu dan institusi beraja terus menjadi paying kepada kemerdekaan negara sehingga kini.


Beliau seterusnya memberi amaran Pemuda BN akan mempertahankan institusi Raja sehingga ke titisan darah terakhir.


"Pembangkang terbukti menjadi pengkhianat kepada generasi masa depan kerana cuba mengkhianati payung negara.


"Hari ini adalah permulaan gelombang yang akan menjadi gelombang tsunami kita bagi menyatakan sokongan kepada institusi beraja seterusnya memberi amaran kepada pembangkang jangan mencabar sejarah Melayu", katanya.


Ucapan beliau itu turut berselang dengan laungan bergema “Daulat Tuanku” daripada ahli Pemuda yang ternyata cukup bersemangat mengikuti perhimpunan itu dari mula hingga akhir.


Sementara itu, pada sidang media selepas perhimpunan tersebut, Hishammuddin berkata anak-anak muda yang ingin meluahkan kemarahan dan kekecewaan terhadap kemelut politik di Perak patut diberi ruang dan dipantau supaya tidak mencetuskan sebarang kekecohan yang mengganggu ketenteraman awam.


Katanya api kemarahan begitu mudah untuk dinyalakan sekiranya dilakukan secara tidak bertanggungjawab.


"Cetusan semangat ini jika tidak dikawal, boleh menyebabkan huru-hara dan kekecohan.


"Sekurang-kurangnya kami tidak di jalanan..melontar batu dan sebagainya," kata beliau merujuk semangat yang ditunjukkan ribuan ahli Pemuda yang hadir pada perhimpunan tersebut.


Sumber Laman Web Pemuda UMNO Malaysia


Gambar Oleh Bro Jinggo





Sebahagian dari wakil Pemuda Rembau